
Apakah punca Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat?
Ramai menganggap, beliau digugurkan kerana pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan perkara itu menjadi punca kepada pemecatan tersebut malah beliau mencabar Mohd. Khairuddin membuat kenyataan mengenai perkara itu.
“Adakah dia (Mohd. Khairuddin) berani mengatakan bahawa soal ini (pendirian MN dan PN)?
“Kalau dia berani, dia buat kenyataanlah, ‘Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan,” katanya kepada media di Kota Bharu semalam.
Menurut Takiyuddin, beliau mengetahui apakah yang berlaku dalam mesyuarat yang memutuskan pemecatan tersebut kerana menjadi sebahagian anggota mesyuarat berkenaan dan menegaskan ia (pemecatan) tiada kena mengena dalam isu MN dan PN.
“Not at all (tidak sama sekali), walaupun saya tak nak menghuraikan puncanya, tapi sama sekali tak ada kaitan dengan MN atau PN,” katanya.
Takiyuddin menambah, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang membuat kenyataan bahawa pemecatan Mohd. Khairuddin berpunca daripada isu MN dan PN.
“Ini purely (kerana) masalah pentadbiran dan pengurusan parti,” katanya.
Berita penuh: Takiyuddin cabar Khairuddin buat dakwaan dipecat kerana MN, PN