Melewati enam dasawarsa pembangunan FELDA sebagai sebuah Lembaga Pembangunan Tanah yang berjasa besar mengubah nasib seramai 112,638 orang peneroka di 317 kawasan tanah rancangan FELDA seluruh negara merupakan suatu yang patut dihargai setingginya.
Jasa para pendahulu yang terdiri daripada arkitek-arkitek utama FELDA, pemimpin-pemimpin peneroka awal telah menempa peranan penting dalam bersama-sama membangunkan tanah rancangan FELDA sehingga dapat disaksikan kejayaannya hari ini.
Justeru, usaha memastikan kejayaan FELDA yang berjaya mentransformasi kehidupan warganya seharusnya dapat terus dilestarikan sebagai contoh sejarah hidup bersifat warisan ketara (tangible heritage) yang boleh dibanggakan oleh Malaysia.
FELDA bukan sahaja sebuah wadah yang menyediakan kediaman kepada peneroka, malahan lebih daripada itu ia menyediakan wadah universiti kehidupan (university of life).
Padanya terdapat institusi yang menyokong pertumbuhan manusiawi, sektor ekonomi, sosial, urustadbir, kerohanian, pendidikan, kebajikan dan sebagainya.
Idris layak terajui Felda
Justeru, teraju utamanya diharapkan datang daripada mereka yang memiliki kompetensi cukup bagi menggembleng upaya mencapai kecemerlangan dalam semua segmen berkenaan.
Daripada sudut ini, adalah diakui bahawa Datuk Seri Idris Jusoh adalah individu yang layak menerajui institusi ini.
Justeru itu, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) menzahirkan rasa berbahagia atas perlantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi FELDA dan Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA yang berkuatkuasa pada awal Mei lalu.
Kecemerlangan beliau secara merit dapat disaksikan ketika menerajui beberapa institusi kanan negara yang penting seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, MARA.
Beliau juga pernah diamanahkan memimpin sebuah negeri sehingga menjadi pusat kegiatan ekonomi yang kompetitif di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ketika menjadi Menteri Besar Terengganu.
Komitmen berterusan beliau terhadap kecemerlangan dapat dilihat melalui idea-idea pintar seperti mewujudkan model pendidikan ulul albab, sekolah imtiyaz yang meletakkan tiga tonggak teras ; Qur’anik, Ensiklopedik, Ijtihadik yang menjadi prototype kepada kelahiran model-model pendidikan berkaitan.
Kebernasan idea yang digagaskan di era beliau telah disalin dan dimanfaatkan oleh beberapa kerajaan negeri dan institusi lain untuk diterapkan.
Daripada sudut pentadbiran korporat, pengalaman beliau memimpin MARA sebagai badan berkanun yang menjadi tunjang meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dilihat sejajar dengan orientasi penubuhan FELDA.
Pengalaman sektor korporat ini memberi nilai tambah kepada pembangunan FELDA yang bakal beliau kemudi.
Justeru, adalah diharapkan inovasi dan kecemerlangan yang beliau tempa di institusi-institusi berkenaan dapat diteruskan agar warga peneroka FELDA termasuk generasi kedua dan ketiga akan mendapat limpahan faedahnya.
MBFM bantu dukung inisiatif
Sebagai badan induk terbesar kepada Persatuan Belia di seluruh tanah rancangan FELDA, MBFM menghulurkan tangan bagi mendukung inisiatif yang bakal diambil oleh Datuk Seri Pengerusi FELDA nanti.
Pihak kami juga bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan input daripada sudut pandang aktivis belia atau informal educator yang terlibat aktif di lapangan mendengar suara masyarakat FELDA secara langsung.
MBFM akan terus melaksanakan peranannya sebagai rakan pembina di sektor ketiga (third sector) untuk memperkukuhkan amalan urus tadbir terbaik (good governance) FELDA dengan menyokong dan mengimbang ekosistem perencaan pembangunan yang diputuskan oleh pihak pengurusan.
Daripada maklum balas yang kami dapati secara pemerhatian rawak dan persampelan umum, rata-rata melihat perlantikan Datuk Seri Idris Jusoh dianggap sebagai teraju yang tepat untuk mengangkasakan FELDA.
Manakala, pihak FELDA seperti dilaporkan dalam kenyataan oleh Pengarah Besar, Datuk Dr. Othman Omar, yakin pengalaman dan kepimpinan Idris berupaya menerus serta mempercepatkan usaha pemulihan agensi terbabit
Kewibawaan pihak Pengerusi dan Pengurusan Kanan FELDA mudah-mudahan memberi sinar kepada FELDA bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar pasca Covid-19 yang menghantui seluruh dunia ketika ini.
MBFM dengan berbesar hati menawarkan khidmat untuk bekerja lebih erat dengan pasukan Pengerusi FELDA khususnya dalam konteks membangunkan generasi kedua dan ketiga FELDA.
Kami percaya kerjasama baik antara pelbagai pihak yang ingin melihat FELDA bangkit semula akan menzahirkan pencapaian yang lebih bermakna.
Komoditi Minyak Sawit
Susulan laporan memaklumkan Kerajaan India kembali membeli minyak sawit dari Malaysia, ia diharapkan berupaya mengembangkan semula prestasi komoditi itu kepada momentum yang memberangsangkan selepas melalui waktu-waktu sukar berikutan tindakan kerajaan India menggantung pengimportan minyak sawit Malaysia.
Berita ini sudah tentu menghadirkan kegembiraan kepada peneroka FELDA khususnya yang terpaksa menerima bayaran tidak setimpal dengan hasil ladang mereka berikut keputusan yang diambil oleh kerajaan India sebelum ini.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melaporkan, India adalah pengimport sawit Malaysia yang terbesar dengan 3.91 juta tan pada 2019 sahaja, 2.29 juta tan lebih tinggi berbanding pengimport China (1.62 juta) selaku pengimport kedua terbesar.
Bertepatan dengan khabar gembira ini kemudiannya warga FELDA mendapat pula Pengerusi baharu yang telah terbukti secara profesional mentadbir dan memimpin institusi di bawahnya dengan cemerlang. Ianya memberi tonik berganda untuk FELDA meningkatkan pendapatan hasil jualan minyak sawit seterusnya memberikan sinar kepada peneroka.
Beberapa cadangan yang boleh diajukan kepada Pengerusi FELDA yang baharu diharapkan dapat dipertimbangkan untuk memulihkan keyakinan generasi kedua dan ketiga FELDA.
Tumpu siapkan Projek Perumahan Generasi Baru FELDA
Salah satunya ialah tumpuan terhadap menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baru FELDA yang terbengkalai di beberapa lokasi di seluruh negara. Daripada sudut imej, ia memberi kesan negatif terhadap wibawa FELDA sebagai institusi ulung negara.
MBFM bersedia menjadi pemudahcara bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan saksama sebagai komitmen berterusan FELDA daripada sudut menjaga kebajikan generasi kedua. Kepincangan daripada sudut kegawatan kewangan FELDA dapat diatasi melalui urus tadbir yang cekap.
MBFM juga mencadangkan supaya pemberian tanah-tanah lot dalam rancangan FELDA kepada generasi baru FELDA seperti yang dilaksanakan secara bersama dengan kerajaan Johor di DUN Sedili dijadikan sebagai contoh untuk dilaksanakan di rancangan Felda seluruh negara.
Selain daripada itu, bagi membantu usahawan-usahawan muda, dicadangkan juga agar pasukan pengurusan FELDA mewujudkan hub usahawan generasi FELDA di gugusan-gugusan FELDA dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Kementerian Usahawan, MARA, MDec dan lain-lain lagi.
Peruntukan Program Pembangunan Peneroka (PPP) sebanyak RM1 billion (RM250 juta setahun selama 4 tahun) juga boleh diagihkan sedikit bagi memastikan usaha untuk membantu usahawan muda ini dapat dilaksanakan dengan segera.
Fokus melahirkan Usahawan Digital juga perlu diberikan penumpuan selari dengan pelaksanaan FELDA 2.0 yang dikenali sebagai Lembah Digital Bilut di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang.
Daripada aspek pendidikan dan kemahiran, selain daripada usaha yang dibuat oleh FELDA melalui Yayasan FELDA, MBFM dan KAF juga telah berusaha mendapatkan peluang-peluang ini daripada agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Baitulmal Kuala Lumpur dan lain-lain lagi.
Usaha bersepadu ini perlu dijalankan secara bersama melalui satu jenama khas yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Peneroka iaitu FUTURE (Felda Youth Education & Training Roadshow).
Selain itu isu-isu yang sering dibangkitkan seperti kelewatan bayaran hasil, keraguan terhadap hutang-hutang penanaman semula ladang peneroka dan pinjaman sara hidup juga patut diberikan perhatian.
Beberapa inisiatif rasional dan progresif yang terdapat pada pembentangan kertas putih mengenai FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019 lalu mungkin boleh dipertimbangkan.
Menyedari bahawa FELDA sebagai entiti korporat yang pernah menempa kejayaan global, menguruskan aset dan keuntungan perniagaan sehingga berbilion ringgit besarlah harapan kami kepada Pengerusi untuk kembali mengartikulasikan kejayaan berkenaan ke landasannya yang tepat.
Berbekalkan legasi cemerlang oleh Pengerusi serta kepimpinan tertinggi FELDA Malaysia ia nampak tidak mustahil.
Libatkan MBFM dalam sesi libat urus
Sebagai mewakili suara orang muda, MBFM menyeru sebarang sesi libat urus bagi merangka dasar-dasar yang berkaitan langsung dengan warga FELDA di tanah rancangan diharapkan tidak mengabaikan MBFM.
Hal ini supaya keputusan yang dicapai dapat dihasilkan secara komprehensif tanpa ada yang tertinggal (no one left behind).
FELDA masih memiliki kekuatan untuk dioptimumkan di semua peringkat untuk kembali membina empayarnya sebagai gedung ekonomi luar bandar terpenting negara.
Semoga ianya dapat direalisasikan. Selamat berkhidmat kepada Datuk Seri Pengerusi FELDA. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahnya memimpin agensi bersejarah ini.
Muhammad Fadzli Hassan merupakan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia.