SukanTerkini

Negeri Sembilan tidak mahu ulang kekalahan 2018

Kali terakhir pasukan Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban ialah pada 5 Mei 2018.

Pada perlawanan tersebut JDT mudah menewaskan tuan rumah dengan keputusan 4-0. Jika ada yang masih mengingatinya, pada perlawanan itu, Harimau Selatan mendahului seawal minit ke-3 hasil sepakan penalti Gonzalo Gabriel Cabrera.

Aksi pusingan kedua pada 23 Mei 2018 di Larkin juga menyaksikan Negeri Sembilan gagal memberikan saingan apabila kalah 2-0 kepada tuan rumah.

Itulah perlawanan terakhir kedua-dua pasukan di saingan tertinggi negara dan selepas itu Negeri Sembilan terjerumus ke Liga Perdana bermula musim berikutnya.

Bagaimanapun, itu semua kisah lama, perlawanan malam esok di antara kedua-dua pasukan pasti membawa kisah yang berbeza.

Negeri Sembilan tampil sebagai juara Liga Perdana dan kini sedang mendahului liga manakala JDT merupakan juara bertahan Liga Super sejak lapan tahun berturut-turut malah kini membawa reputasi sebagai antara pasukan terbaik di Asia.

Di atas kertas, kelebihan sememangnya ada pada JDT namun dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Negeri Sembilan tetap mempunyai peluang untuk mengekalkan rekod tanpa kalahnya setakat ini.

Seperti yang dikatakan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, dia dan rakan sepasukannya yang lain pasti akan berusaha memberikan aksi terbaik dan berharap kemenangan berpihak kepada pasukan Jang.

“Kita sedar JDT merupakan pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sengit pada malam esok sebab dua-dua pasukan sedang konsisten tanpa tewas.

“Tetapi dalam bola sepak, kita susah nak jangka sebab apa-apa sahaja boleh berlaku dan selagi perlawanan masih belum bermula, susah kita nak cakap siapa yang mungkin menang atau sebaliknya.

“Yang penting, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik sambil berharap kemenangan berpihak kepada Negeri Sembilan”, katanya seperti dilaporkan laman web Malaysian Football League (MFL)

Sementara itu, tinjauan di media sosial khususnya dalam kalangan penyokong Negeri Sembilan mendapati rata-ratanya teruja untuk menyaksikan pertembungan di antara kedua-dua pasukan.

Ada yang menganggap perlawanan esok bak aksi perlawanan akhir malah ada juga melihat ia sebagai kayu pengukur kemampuan Negeri Sembilan musim ini yang di peringkat awal telah menyasarkan untuk berada di kelompok pertengahan selepas musim ini berakhir kelak.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: