Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini.
Pejabat Perdana Menteri, menerusi kenyataan media sebentar tadi memaklumkan perkara itu selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, yang dipengerusikan oleh Muhyiddin semalam, telah disahkan positif Covid-19.
“Seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat tersebut telah disahkan positif Covid-19.
“YAB Perdana Menteri telah menjalani ujian saringan Covid-19 pagi tadi dan disahkan negatif. Walau bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15 (1) Akta 342, YAB Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu juga memaklumkan, semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.
“Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa” katanya.- KLIQ NEWS.