Messi akhirnya julang trofi bersama Argentina
Akhirnya, sepanjang karier sebagai pemain bola sepak, Lionel Messi buat pertama kali menjulang trofi bersama skuad kebangsaan Argentina.
Ia selepas pasukan ‘tango’ itu menewaskan Brazil dengan keputusan 1-0 dalam final Copa America di Stadium Maracana di Rio de Janeiro pagi tadi.
Gol kemenangan Argentina terhasil menerusi sentuhan Angel Di Maria pada minit ke-22 menewaskan penjaga gol Brazil, Ederson, selepas dia menerima hantaran cantik daripada Rodrigo De Paul.
Kejayaan Argentina ini menjadikan menamatkan kemarau trofi Messi bersama skuad kebangsaan dalam kejuaraan utama sejak bintang Barcelona itu dipanggil buat pertama kali mewakili skuad senior negaranya pada Ogos 2005.
Pencapaian tertinggi Messi bersama Argentina adalah memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.
Lebih mengembirakan, Messi juga menjadi penjaring gol terbanyak kejohanan, ‘assist’ terbanyak malah merangkul gelaran pemain terbaik.
Pada 2015, Messi juga pernah mendapat gelaran pemain terbaik Copa America yang ketika itu berlangsung di Chile.