Pendidikan

Mentransformasi pendidikan global Malaysia

Sektor pendidikan tinggi merupakan komponen penting dalam membantu kemajuan pertumbuhan ekonomi kontemporari negara. 

Anjakan daripada kemajuan pesat teknologi dan peningkatan persaingan globalisasi, sektor pendidikan merupakan agen perubahan besar kepada permintaan pasaran buruh dan peningkatan terhadap pasaran pendidikan tinggi negara dalam melahirkan rakyat yang berkualiti dan berilmu pengetahuan.

Oleh itu, perancangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa sejak 15 tahun lalu merupakan satu langkah yang harus dipuji dan kehadapan serta wajar diberi perhatian. 

Peningkatan kemasukan pelajar asing ke Malaysia membuktikan bahawa negara ini berpotensi menjadi hab pendidikan antarabangsa atas beberapa kelebihan yang dimiliki Malaysia. 

Pelaburan dalam pendidikan tertiari dan perluasan peluang antarabangsa pendidikan tinggi meletakkan antara polisi dan langkah pendidikan utama dalam pembangunan wilayah di kebanyakan negara diseluruh dunia termasuk Malaysia. 

Sejarah perkembangan sektor pendidikan tinggi menunjukkan transformasi daripada segi kuantiti mahupun kualiti sejak beberapa tahun lalu. Meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa, Malaysia perlu menyediakan tenaga pengajar, infrastruktur, dan sistem  terbaik seperti negara maju. 

Secara tidak langsung, transformasi itu memberi faedah kepada semua institusi pendidikan terlibat yang mengkehendaki pelajar Malaysia tidak perlu untuk melanjutkan pengajian ke luar negara  kerana kualiti dan persekitaran tersebut boleh didapati di Malaysia.

Tan Sri Lim Kok Wing

Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Lim Kok Wing berpendapat, untuk meletakkan Malaysia menjadi negara pendidikan tinggi, universiti perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan komuniti berpendidikan tinggi yang diperlukan dalam konteks ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan.

“Kepentingan universiti dijelaskan dengan pertambahan pesat bilangan universiti awam dan swasta berbanding awal kemerdekaan negara dahulu. Pertambahan ini menjelaskan ekonomi kontemporari Malaysia memerlukan komuniti berpendidikan untuk memenuhi keperluan guna tenaga berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Universiti memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan komuniti berpendidikan tinggi yang diperlukan dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Malah, ekonomi negara dipacu oleh ekonomi yang berasaskan produktiviti tenaga mahir pekerja. Selain itu, perkembangan pesat universiti  mendorong Universiti Limkokwing terlibat dengan peningkatan permintaan tenaga kerja mahir berbanding sebelum ini,” katanya.

Jelas Kok Wing, pendidikan tinggi dilihat sebagai penentu utama prestasi ekonomi selepas Malaysia dijangka bebas daripada penularan pandemik Covid-19 kelak. Malaysia dilihat mempunyai keperluan sumber manusia yang menyokong perubahan teknologi, penyelidikan dan inovasi, dan peningkatan produktiviti dan daya saing.

“Sebagai pengetahuan, berdasarkan Teori  Fitzsimons, P. 1999 yang diperkenalkan oleh Schultz pada tahun 1961 dan diperluaskan lagi oleh Becker pada tahun 1964. Becker menjelaskan bahawa pendidikan dan latihan memainkan peranan yang lebih penting dalam pertumbuhan dalam modal fizikal sesebuah negara dalam pertumbuhan pendapatan.

“Oleh itu teori itu sesuai bertepatan dengan hasrat Malaysia dalam keseimbangan pendidikan dan latihan yang dilihat mampu meningkatkan produktiviti rakyat Malaysia dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan penjanaan pendapatan Malaysia,”jelas Kok Wing.

NORAINI AHMAD (tengah) bersalaman dengan warga Kementerian Pengajian Tinggi pada hari pertamanya di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya – BERNAMA

Berdasarkan teori itu juga, Malaysia perlu berbangga  dengan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu, Datuk Dr. Noraini Ahmad untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam mengemudi dan memperkasakan kepentingan pendidikan negara yang merupakan komponen penting dalam mengukuhkan produktiviti modal insan di negara ini.

Melalui agenda pembangunan pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dilihat proaktif berusaha mentransformasikan dan memartabatkan sistem pendidikan tinggi negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi antarabangsa. 

“Pelan transformasi ini telah dilaksanakan sejak 15 tahun lalu yang berasaskan kepada lima tonggak utama institusi yang meliputi tadbir urus, kepimpinan, akademia, pengajaran dan pembelajaran dan penyelidikan dan pembangunan serta lima program agenda kritikal iaitu Universiti APEX, My Brain 15, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Audit Prestasi Akademik dan Skim Latihan Graduan. 

“Pelan ini bertujuan  meningkatkan daya saing universiti awam supaya mampu bersaing dengan universiti yang ternama dan berupaya membantu graduan memenuhi kehendak industry di peringkat antarabangsa.

Namun Jelas Kok Wing, dalam merealisasikan hasrat itu, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh Malaysia seperti kesediaan universiti dalam menyediakan tenaga pengajar yang mencapai standard permintaan antarabangsa termasuk kualiti tenaga pengajar.

Sementara itu Kok Wing berkata, menurut Laporan Statistik Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi, Buat masa ini hampir 100,000 pelajar dari luar negara yang sedang mengikuti pelbagai bidang pengajian di universiti dan kolej di Malaysia. Jumlah pelajar asing dianggarkan mencecah 200,000 pada tahun 2020.

SEBAHAGIAN daripada graduan dari 165 buah negara kegembiraan pada Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada tahun lalu.

Ekoran itu, Kok Wing berkata, usaha kerajaan memudahkan proses kemasukan pelajar dari luar negara diyakini mempengaruhi pilihan Malaysia sebagai tempat melanjutkan pelajaran. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya langkah universiti awam meningkatkan kualiti tenaga pengajar dan program atau kursus ditawarkan. 

“Pilihan Malaysia juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti kos sara hidup rendah, kemudahan pembelajaran terkini, kestabilan politik berterusan dan sebagai tempat pelancongan yang menarik. Kerajaan Malaysia harus dipuji kerana berjaya merangka pelbagai persediaan untuk memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah hab pendidikan yang setanding dengan negara maju. 

 “Kriteria yang digunakan adalah penanda aras antarabangsa. Ini mempengaruhi pilihan pelajar lebih-lebih lagi pelajar yang mempunyai kelulusan yang cemerlang. Ini adalah satu cabaran bagi universiti tempatan. Kerajaan juga perlu menyediakan dana yang lebih ke arah penambahbaikan dari segi tenaga pengajar dan penyelidikan antarabangsa, ” katanya. -KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: