
Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini serba salah, gara-gara ramai penjaja khususnya yang menjual makanan mangga asam boi di persimpangan lampu isyarat.
Trend menjual di persimpangan lampu isyarat ini diperhatikan telah bermula sejak awal tahun lalu dan ia semakin kerap boleh dilihat seluruh negara sejak kebelakangan ini.
Bagi PBT, jika dibiarkan penjaja ini ia boleh memberi risiko kepada kemalangan jalan raya, bukan sahaja kepada penjaja tersebut, tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

Betul, setakat ini masih belum kedengaran dan terdapatnya laporan kemalangan yang melibatkan atau berpunca daripada penjaja ini, tapi adakah selepas adanya kes kemalangan, baru kita mahu bertindak?
Pada waktu itu, nasi sudahpun menjadi bubur.
Jika diambil tindakan pula, percayalah ‘berbakul’ kecaman dan makian akan diterima oleh PBT-PBT ini khususnya di media-media sosial.
“Mereka ini mahu cari rezeki yang halal, berilah amaran dulu atau nasihat barulah ambil tindakan”
“Tidak berhati perut, sekarang ramai yang tiada kerja, Covid-19 ramai yang dibuang kerja, biarlah mereka mencari rezeki,”
Itu antara komen-komen netizen berhubung isu ini, ia ada benarnya namun untuk mencari rezeki, ia perlu mengikut peraturan yang ditetapkan, sukarkah untuk mengikut peraturan, undang-undang yang ada?
Penulis percaya, tindakan oleh PBT seperti menyita barangan jualan diambil selepas nasihat dan amaran telah diberikan kepada penjaja-penjaja ini.

Jika masih berdegil, wajarlah mereka dikenakan tindakan. Bukanlah mahu berdengki, orang ramai tetap bersimpati kepada mereka yang terjejas, kehilangan kerja, tapi golongan penjaja di lampu isyarat ini juga perlu memikirkan tentang kepentingan orang lain.
Kalau tidak dibendung, jangan nanti makin ramai penjaja menggunakan strategi menjual di lampu isyarat, bermacam-macam pula yang dijual bukan setakat mangga asam boi sahaja nanti.

Penulis juga ada beberapa kali membeli daripada penjaja mangga asam boi ini, bukanlah mahu atau teringin sangat memakannya cuma hanya mahu memberi sokongan, simpati dengan kegigihan anak-anak muda ini berhujan berpanas mencari rezeki.
Tapi begitulah, zaman sekarang zaman sukar, pemimpin-pemimpin fikirkanlah yang terbaik, ini tugas anda.