Lukisan gua tertua di dunia ditemukan
Ahli kaji purba menjumpai satu lukisan gua yang tertua di dunia iaitu gambar saiz sebenar seekor babi hutan yang dipercayai dilukis kira-kira 45,500 tahun yang lalu di Indonesia.
Penemuan itu disifatkan oleh jurnal Science Advance pada 13 Januari, semalam, sebagai bukti terawal mengenai penempatan manusia di rantau ini.
Penulis bersama Maxime Aubert dari Universiti Griffith di Australia memberitahu AFP, lukisan itu ditemui di pulau Sulawesi pada tahun 2017.
Ia ditemukan oleh seorang penuntut ijazah kedoktoran Basran Burhan, sebagai sebahagian daripada kajian yang dijalankan pasukan itu bersama pihak berkuasa Indonesia.
Gua Leang Tedongnge itu terletak di lereng-lereng terpencil di sebalik batu kapur yang tergantung, satu jam perjalanan daripada jalan raya terdekat.
Gua itu hanya boleh diakses pada musim panas kerana berlaku banjir pada musim hujan dan masyarakat Bugis di situ memberitahu pasukan itu mereka tidak pernah ditemui oleh orang Barat sebelum ini.
Berukuran 136 kali 54 sentimeter, babi berkutil Sulawesi itu dilukis menggunakan pigmen tanah liat yang berwarna merah gelap dan mempunyai, bulu-bulu yang lurus serta sepasang bonggol yang kelihatan seperti tanduk yang terdapat pada spesies jantan dewasa.
Terdapat juga kesan dua telapak tangan pada bahagian atas lukisan tersebut dan ia seolah-olah berada di hadapan dua lagi babi yang hanya sebahagiannya kelihatan.
“Babi itu seperti sedang menyaksikan satu pergelutan atau interaksi antara dua lagi babi,” kata penulis bersama Adam Brumm.
Manusia sudah memburu babi Sulawesi itu selama puluhan ribu tahun dan ia adalah ciri utama lukisan dari zaman kuno di rantau itu.
Aubert, pakar pemetaan tarikh, mengesahkan bahan kalsit yang terdapat pada lukisan itu yang kemudian menggunakan keadah mengira tarikh isotop siri Uraniam dan memberitahu bahan tersebut berusia 45,500 tahun.
Ini menjadikan lukisan itu sekurang-kurangnya pada usia tersebut “tetapi ia mungkin juga lebih tua kerana kaedah penentuan tarikh yang kami gunakan hanya mengira kalsit pada lukisan itu,” jelasnya.
“Orang yang melukisnya sangat moden, mereka seperti kita, mereka mempunyai keupayaan dan peralatan untuk melukis apa sahaja yang mereka suka,” tambahnya
Sebelum ini lukisan tertua pada batu ditemui oleh pasukan yang sama di Sulawesi. Ia menunjukkan sekumpulan orang yang kelihatan separuh manusia dan separuh haiwan sedang memburu mamalia dan didapati berusia sekurang-kurangnya 43,900 tahun.
Lukisan-lukisan gua seperti ini juga membantu merapatkan jurang tentang pemahaman kita mengenai migrasi awal manusia.
Manusia diketahui tiba di Australia 65,000 tahun lalu tetapi mereka mungkin pergi ke kepulauan Indonesia, yang dikenali sebagai ‘Wallacea’.
Tapak itu kini mewakili bukti tertua wujudnya manusia di Wallacea. Namun mereka berharap untuk melakukan lebih banyak kajian yang akan membantu menunjukkan bahawa manusia sudah berada di rantau itu lebih awal lagi. Ini sekali gus akan memberi jawapan kepada tanda tanya mengenai penempatan Australia.
Pasukan itu percaya lukisan tersebut dibuat oleh Homo sapien dan bukan spesies manusia Denisovan yang kini sudah pupus.
Bagi kesan telapak tangan pada lukisan tersebut, pelukisnya perlu meletakkan tangannya pada bahagian permukaan bagi memecahkan pigmen. Maka pasukan itu berharap untuk mencungkil sample DNA daripadanya.