Sukan

Pertama kali wakili Malaysia, terus lawan Arsenal

Sebagai pemain bola sepak, berjaya dipilih mewakili skuad kebangsaan tentunya menjadi impian semua.

Selain meraih kejuaraan bersama negeri atau kelab yang diwakili, bermain untuk skuad kebangsaan Malaysia sudah pasti merupakan pencapaian peribadi terbaik dan tertinggi yang mahu dicapai pemain bolasepak di negara ini.

Tetapi tidak semua pemain memperolehnya, apatah lagi diberi peluang menentang pasukan yang dipenuhi pemain berkelas dunia.

Lebih mengujakan, peluang itu hadir ketika kali pertama dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Itu yang dikecapi, bekas penyerang kelahiran Kelantan, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Berusia 44 tahun, dia yang kini merupakan ketua jurulatih skuad Piala Presiden Pulau Pinang, telah berkongsikan gambar di akaun media sosial milknya sewaktu kali pertama mewakili skuad kebangsaan iaitu pada tahun 1999.

Gambar yang dikongsikan Wan Rohaimi menerusi akaun Twitter miliknya.

Lebih menarik, gambar tersebut adalah ketika Malaysia menentang pasukan ternama dari England iaitu Arsenal yang pada ketika itu dalam siri jelajah pasukan ke beberapa negara Asia.

Menerusi akaun media sosial Twitter dan Facebook, Wan Rohaimi memuat naik gambarnya sedang bersaing mengejar bola dengan pertahanan The Gunners, Steve Bould.

“First time call up national team ’99 Malaysia v Arsenal” kata Wan Rohaimi dalam keterangan gambar tersebut.

Menjawab soalan seorang pengguna Twitter, @zakisshh25, sama ada Steve Bould ‘keras’ atau tidak? Wan Rohaimi menjawab boleh tahan, merujuk kepada corak permainan pemain yang berketinggian 1.93 meter itu.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia tewas dengan keputusan 2-0 hasil jaringan dua pemain dari Perancis iaitu Nicolas Anelka dan Emmanuel Petit.

Skuad kebangsaan pada ketika itu, dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim.

Perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu merupakan aksi sulung skuad negara di Kuala Lumpur.

Ia selepas skuad kebangsaan dibubarkan dua tahun sebelum itu akibat kekalahan memalukan 0-1 kepada Laos di Sukan Sea 1997, Jakarta, Indonesia.

Selain Wan Rohaimi, pemain baharu yang dibawa masuk oleh Abdul Rahman pada ketika itu adalah pemain pertahanan dari Negeri Sembilan iaitu M. Elangoo yang juga merupakan bekas pemain skuad Olimpik 2000.

Selepas daripada perlawanan berkenaan, Wan Rohaimi terus diberi kepercayaan mewakili skuad negara antaranya dalam kejohanan Sukan Sea 1999 di Bandar Seri Begawan, Brunei serta pertandingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia

Walaupun berasal dari Kelantan, Wan Rohaimi lebih dikenali ketika menyarung jersi Pahang malah menjadi antara penjaring terbanyak liga pada musim 1999.

Dia bergandingan baik dengan seorang penyerang lagenda Pahang iaitu Azizul Kamaluddin sehingga digeruni pasukan lawan.

Ketika beraksi mewakili Pahang

Selepas dua musim mewakili Pahang, Wan Rohaimi kemudiannya berhijrah ke Terengganu sekali gus membantu skuad Penyu itu menjuarai Piala Malaysia pada 2001.

Dia kemudian mewakili beberapa pasukan lain antaranya Pulau Pinang, Public Bank, Selangor, Johor FC dan kemudian kembali mewakili skuad Kelantan yang menjuarai Liga Super pada 2011.

Mewakili Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2001 menentang pasukan Perak.

Pada akhir aksinya di tengah padang, Wan Rohaimi banyak diletakkan di posisi pertahanan kanan.

Wan Rohaimi ketika menjadi jurulatih pasukan bawah umur negara menerusi program NFDP.

Wan Rohaimi yang memiliki lesen A kejurulatihan AFC turut pernah mengendalikan skuad bawah 12 tahun, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).- KLIQ NEWS

Sumber artikel dan gambar daripada laman media sosial Wan Rohaimi Wan Ismail

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: