Pendidikan

Lim Kok Wing : 50 tahun mendedikasi jenama, pendidikan dunia

Lahirnya Universiti Limkokwing adalah hasil perjuangan dan semangat nasionalisme, Pengasas dan Presidennya, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing yang mahu mendedikasikan pendidikan Malaysia bertaraf global.

Kok Wing yang mencetuskan idea penubuhan universiti yang berciri kebangsaan itu dengan tujuan untuk memajukan masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan kesihatan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kampus Universiti Limkokwing yang tersergam di Cyberjaya.

“Saya mahu melihat Malaysia menjadi negara pilihan masyarakat dunia untuk melanjutkan pengajiannya di sini. Perkembangan sistem pendidikan Malaysia yang mendorong universiti awam, dan swasta di negara ini menjadi pilihan antara universiti setaraf global.

“Saya telah terlibat dalam usaha membantu kepimpinan kerajaan Malaysia dan pemimpin dunia dalam bidang penjenamaan dan pendidikan selama 50 tahun dan hasil daripada pengalaman itu, timbul idea menubuhkan Universiti Limkokwing yang kini telah menjangkau usia 25 tahun,” katanya sempena 50 tahun peranan Tan Sri Lim Kok Wing dan 25 tahun penubuhan Universiti Limkokwing.

Lim Kok Wing bersama kakitangannya di kampus Universiti Limkokwing Botswana.

Kok Wing yang menjadi antara tokoh pelopor sektor pendidikan tinggi swasta negara, menyifatkan industri pendidikan negara mampu berkembang dan lebih berdaya saing dalam tempoh terdekat dan 10 tahun akan datang bukan saja di pasaran domestik malah antarabangsa.

Katanya, matlamat terbabit boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama antara pemain industri dalam sektor pendidikan bagi memastikan pasaran itu lebih kukuh selepas Malaysia berjaya mendepani cabaran penularan wabak Covid-19.

“Matlamat terbabit boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama Kementerian Pendidikan Tinggi dan pemain industri dalam sektor pendidikan bagi memastikan pasaran lebih kukuh seperti mana pasaran antarabangsa yang perlu selari dengan ekonomi dunia yang tidak stabil hari ini.

“Kerjasama antara semua pihak ini penting di mana sinergi industri yang perlu dimanfaatkan kerajaan Malaysia hari ini yang mempunyai kepakaran dan kewibawaan tinggi dalam menerajui negara.

Lim Kok Wing bersama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela ketika membantu kempen pilihan raya negara tersebut.

Kepimpinan kerajaan hari ini terbukti memiliki kekuatan dan kepakaran dalam mengurus tadbir negara dengan baik terutama dalam industri pendidikan dan penjenamaan untuk melawan dan menangani Covid-19,”katanya.

Dalam pada itu, pengasas dan pencetus industri pengiklanan jenama Malaysia dengan sejarah kerjaya tersendiri dalam bidang itu selama 50 tahun berkata, kejayaan awalnya bermula apabila menubuhkan Wings Creative Consultant Sdn. Bhd. pada tahun 1975 dan muncul sebagai agensi pengiklanan tempatan pertama di Malaysia.

“Pengalaman saya ketika bermula sebagai Pengarah Seni di McCann Erickson dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kumpulan Kreatif. Saya juga pernah bekerja sebagai illustrator dan pereka bentuk di Preston. Itu antara pengalaman besar saya diberi kepercayaan dalam industri

“Pengalaman itu akhirnya, membantu saya sehingga berjaya membuka sebuah empayar perniagaan dan menubuhkan Universiti Limkokwing yang kini menjadi pilihan pelajar antarabangsa dari 160 buah negara di seluruh dunia,” katanya.

Lim Kok Wing, tokoh pencetus industri pengiklanan jenama Malaysia.

Kok Wing yang pernah menjadi wartawan dan memulakan ruangan kartunnya berjudul ‘ABU’ dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan berkata, peredaran zaman hari ini memaksa masyarakat agar lebih kreatif dalam bidang pemerkasaan agensi pemasaran dan pengiklanan dalan era teknologi digital.

Lim Kok Wing, tokoh seni bina masa depan Malaysia.

“Keperluan untuk anak muda dibekalkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan teknologi digital amat mendesak bagi mengelakkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain. Ilmu dalam bidang teknologi digital mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, sekali gus mengatasi pengangguran dalam kalangan belia.

“Kepesatan perubahan ketika ini begitu cepat. Kalau kita ketinggalan dua, tiga tahun, ia ibarat kita ketinggalan 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: