Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membuka kembali Kedai Tenaga secara berperingkat bermula 12 Mei 2020.
Ia sejajar dengan langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sejumlah 47 Kedai Tenaga dan 31 kios pembayaran layan diri di lima negeri yang diisytihar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai zon hijau bakal kembali beroperasi.
Lima negeri itu ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (kecuali di Sri Manjung) dan Kelantan. Tarikh pembukaan semula Kedai Tenaga dan kios pembayaran layan diri di negeri-negeri lain akan diumumkan kelak.
Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, selain pembayaran bil elektrik, pelanggan juga boleh melakukan pelbagai transaksi di Kedai Tenaga termasuklah pertanyaan bil, pembayaran bil utiliti lain, permohonan bekalan elektrik, penukaran penyewa (change of tenancy) dan penutupan akaun.
Waktu operasi Kedai Tenaga adalah 9 pagi sehingga 4 petang dan kios pembayaran layan diri pula beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
“Kedai Tenaga di seluruh negara telah ditutup buat sementara sejak 19 Mac 2020 bagi mengelak penyebaran virus COVID-19. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menggunakan portal dan aplikasi myTNB untuk perkhidmatan berkaitan TNB tanpa perlu keluar dari kediaman masing-masing.
“Selari dengan langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor-sektor tertentu semasa PKPB, TNB bersedia untuk membuka semula Kedai Tenaga secara berperingkat.
“Persiapan juga telah dilakukan mengikut peraturan-peraturan dan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memelihara keselamatan pelanggan dan pegawai.” katanya.
Menurut Ir. Megat Jalaluddin lagi, langkah berjaga-jaga yang dilakukan di Kedai Tenaga termasuk memastikan pelanggan memakai topeng penutup muka dan melakukan pemeriksaan suhu badan.
Pelanggan juga perlu memberi butiran diri sebelum memasuki premis untuk tujuan pengesanan kontak, menggunakan cecair nyahkuman yang disediakan serta mengamalkan penjarakan sosial dengan berada di kawasan bertanda.
Katanya, pelanggan di Kedai Tenaga dinasihatkan untuk mengikut langkah-langkah pencegahan ini.
Demi kesejahteraan pegawai dan pelanggan lain, mereka yang mempunyai simptom seperti demam (suhu melebihi 37.5 darjah Celcius), batuk, selesema dan kesukaran bernafas dinasihatkan untuk berada di rumah dan segera mendapatkan bantuan perubatan.
“Kami gembira dapat kembali beroperasi dan memberikan perlhidmatan kepada pelanggan-pelanggan kami.
“Bagaimanapun, kami berharap para pelanggan dapat mengikut langkah pencegahan yang disarankan, seiring dengan amalan normal baru semasa,” tambahnya.
Sementara itu, Ir. Megat Jalaluddin juga memaklumkan operasi pembacaan meter TNB akan dijalankan secara berperingkat mulai 15 Mei 2020 di kawasan zon hijau.
Justeru, 7.5 juta pelanggan kediaman akan menerima bil dengan bacaan sebenar. Bil bulanan juga boleh pelanggan dapati menerusi portal dan aplikasi myTNB.- KLIQ NEWS.