Pasukan Selangor FC hari ini tampil melancarkan jersi away mereka dengan menjadikan kisah perjuangan kapten kelab, Brendan Gan dalam menghadapi penyakit barah sebelum ini sebagai inspirasi dalam penghasilan jersi tersebut.
Bertemakan #TerusBerjuang, jersi dengan gabungan warna hijau teal, fuchsia dan ivory itu dilancarkan pada Hari Kanser Sedunia 2022 yang disambut pada hari ini.
“Jersi away Selangor FC musim 2022 bertemakan #TerusBerjuang sempena solidariti bersama para pesakit kanser di dunia, Selangor FC melancarkan jersi away terbaharu khas untuk para penyokong Selangor FC.
“Jersi yang mengambil daripada inspirasi semangat juang melawan dugaan dan rintangan seperti kapten Selangor FC, Brendan Gan, ia bukan sekadar jersi tetapi ia suatu kebangkitan,” kata kelab itu menerusi kenyataan di media sosial mereka hari ini.
Warna hijau teal iaitu gabungan warna biru dan hijau yang ditampilkan adalah membawa maksud harapan dan permulaan yang baharu pembaharuan.
Warna fuchsia (unggu kemerah-merahan) pula membawa maksud keyakinan, keberanian dan kebersamaan dan warna ivory pula membawa makna kesucian, ketenangan dalam perjuangan.
Rekaan jersi tersebut turut menampilkan simbol reben yang merupakan tanda solidariti dalam perjuangan mengatasi kanser dan sebarang cabaran hidup.
Tahniah Selangor FC dengan rekaan jersi yang cukup menarik dan bermakna. Mantul, pasti ramai yang beli, bukan fans Selangor pun tertarik mahu dapatkannya!