Langkah kerajaan membenarkan individu yang pulang dari luar negara untuj kuarantin di rumah serta mengenakan denda kompaun cuma RM1,000 kepada yang ingkar telah tidak disenangi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berpendapat, perkara itu bukanlah langkah yang sepatutnya ketika banyak negara lain semakin memperketatkan proses kuarantin mereka.
“Hari ini, Singapura tidak lagi membenarkan mereka yang tiba dari Hong Kong dan Australia untuk kuarantin di rumah. Perlu dikuarantin di pusat kuarantin rasmi kerajaan.
“Thailand mengumumkan bahawa semua pelawat termasuk staff diplomatik tidak lagi dibenarkan untuk kuarantin di rumah.
“Australia umum mereka yang ingkar kuarantin akan dipenjarakan selama 6 bulan dan tidak lagi akan didenda,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, seramai 707 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Kesemua mereka tiba dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.
Daripada jumlah tersebut, seramai 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang dibawa ke hospital.
Menurut Najib, semua pihak sedia maklum bahawa kuarantin di rumah bersama keluarga ada banyak kelemahan manakala kit ujian pantas COVID-19 di lapangan terbang juga bukan 100 peratus tepat.
Oleh itu, sepatutnya, menurut bekas Presiden UMNO itu, kerajaan perlu mengambil tindakan serta-merta untuk memperketatkan proses kuarantin bagi individu yang tiba atau pulang dari luar negara.
“Rakyat Malaysia telah berkorban untuk menjalani tempoh PKP dua bulan yang amat susah.
“Pengorbanan front-liners kita cukup besar semasa mereka mengambil risiko berdepan dan melawan COVID.
“Jangan biarkan usaha kita semua menjadi sia-sia jika gelombang kedua melanda akibat kes import tidak dikawal betul dan kita perlu mengulang semula tempoh PKP sekali lagi.
“Jangan kita menyesal di kemudian hari,” katanya. – KLIQ NEWS.