Islamic Relief Malaysia bantu pelajar SJKT Dengkil
Seramai 143 pelajar masyarakat India dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil, Selangor daripada keluarga B40, ibu tunggal dan keluarga yang terjejas pandemik menerima bantuan daripada Islamic Relief Malaysia menerusi projek ‘Cheer To School’.
Bantuan berupa buku, pakaian seragam sekolah bagi tahun satu dan dua, pakaian ko-kurikulum bagi pelajar tahun tiga hingga enam, pakaian sukan dan peralatan sekolah yang lain.
Bantuan berkenaan juga bagi meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan selain menyuntik semangat para pelajar untuk terus menimba ilmu.
Edaran bantuan yang diagihkan secara berkala ini diserahkan kepada ibu bapa murid setelah proses mengukur saiz pakaian dilaksanakan pada Disember lalu di pasar raya berdekatan.
Penolong Pegawai Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia, Nur Hidayu Marzuki berkata, ‘Cheer To School’ adalah medium jaringan kolaborasi yang sangat strategik dalam menggabungkan pelbagai pihak seperti sekolah, penerima manfaat, kakitangan Islamic Relief Malaysia seterusnya para penyumbang yang dermawan.
“Majoriti para pelajar yang menerima bantuan ini kelihatan sangat teruja sewaktu sesi mengambil ukuran saiz pakaian,” katanya.
Jenis bantuan yang diberikan adalah berbeza mengikut sekolah dengan mengambil kira cadangan daripada para guru yang lebih arif tentang keadaan dan situasi semasa murid-murid mereka.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Dengkil, D.R Pushpa berkata, pihaknya sangat terharu dengan inisiatif Islamic Relief Malaysia yang sudi datang membantu SJKT Dengkil.
“Bantuan ini dilihat dapat meringankan banyak beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak memandangkan lebih 60 peratus daripada mereka mengalami masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda,” katanya.
Ibu salah seorang pelajar SJKT Dengkil, V.D Harshinny berkata, anaknya sangat gembira mendapat bantuan pakaian baharu daripada pihak Islamic Relief Malaysia.
“Biasanya, untuk menjimatkan kos, anak saya akan memakai pakaian abang mereka tetapi kali ini mereka dapat pakaian baru.
“Mereka sangat gembira, terima kasih para penyumbang yang membantu kami dan terima kasih Islamic Relief Malaysia kerana memberi bantuan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa,” katanya.
Sementara itu, antara sekolah-sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program ‘Cheer To School’ tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St. James Rayang, Padawan dan SK Bulan Jeragam, Sebuyau, Sarawak.
Seterusnya, SK Pulau Timbang, Sandakan di Sabah, SK Sungai Melut (Asli), Dengkil dan SK Kajang, Selangor menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu seramai 565 orang.