Berita Am

Iklan raya TNB tampil mesej pematuhan PKP

Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi menceriakan sambutan Syawal kali ini menerusi iklan hari raya namun menampilkan kelainan tahun ini.

Iklan hari raya Aidilfitri TNB kali ini akan menghargai pengorbanan seluruh rakyat Malaysia yang duduk di rumah bagi membantu usaha membendung penularan wabak Covid 19.

Menurut Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman, melalui filem pendek ‘Semangat Raya Epik Fantastik’, TNB menampilkan hakikat pengorbanan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, ia berkait dengan nilai-nilai positif yang sering diperkatakan dengan sambutan Aidilfitri, selain membuka pintu kepada kemahiran baharu.

“Dengan mematuhi arahan untuk duduk di rumah sepanjang PKP, ‘hero-hero kita’ ini lebih menghargai perkara-perkara kecil dan kebebasan yang kita ada selama ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, suasana terperap di kediaman masing-masing juga membolehkan orang ramai melakukan perkara-perkara yang diambil mudah selama ini.

Keadaan itu juga jelasnya telah menjadikan orang ramai kreatif mencuba perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan selama ini.

“Rupanya ramai dalam kalangan kita yang mempunyai bakat terpendam. Masa yang ada telah membolehkan kita mendalami ilmu dan kemahiran yang kita tidak terfikir selama ini.

“Bagi yang berkeluarga, PKP telah memberi ruang dan peluang untuk mengeratkan semangat kekeluargaan. Pada waktu yang sama, ia menguji dan mempertingkatkan sifat kesabaran,” katanya.

Tambah Roslan, sambutan Aidilfitri kali ini bakal berbeza daripada yang biasa dan orang ramai akan menghargai mereka yang ‘tidak’ dapat bersama menyambut lebaran bukan kerana mereka telah tiada tetapi disebabkan kekangan PKP.

“Satu lagi keunikan iklan raya kami kali ini ialah sesi penggambaran seperti kebiasaan tidak dapat dilakukan. Jadi, setiap penggambaran setiap babak perlu diambil sendiri oleh setiap watak seperti yang diperlukan pengarah,” katanya.

Mesej Aidilfitri TNB ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi TNB, TENAGAoffcial, bermula 18 Mei 2020.

Tajuk ‘Semangat Raya Epik Fantastik’ adalah kesinambungan filem-filem pendek TNB pada setiap perayaan Aidilfiri sejak beberapa tahun lalu.

Selain menikmati filem ini, penonton juga boleh menggunakan pelbagai GIF menarik di Instagram dan juga ucapan Hari Raya yang menarik untuk dikongsikan kepada insan tersayang melalui WhatsApp. -KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: