I-Berhad anjur pameran Selangor Golden Triangle
Pemaju terkemuka bandar ultrapolis i-City , di Shah Alam, Selangor, I-Berhad, akan menganjurkan pameran Selangor Golden Triangle (SGT) sebagai menerajui usaha meningkatkan keyakinan umum dan membantu merangsang ekonomi negara yang kini berdepan kesan buruk akibat pandemik Covid-19.
Pameran Selangor Golden Triangle – “The World of Digital Possibilities” yang diadakan pada 1 hingga 4 Oktober di Pusat Beli Belah Central i-City bertujuan memperlihatkan transformasi berterusan i-City dan Selangor Golden Triangle di bawah pelan pembangunan 25 tahun sebagai pemangkin kepada perdagangan dan komunikasi di sebalik unjuran semasa prestasi ekonomi yang buruk.
“Tatkala negara terus memerangi pandemik ini dan rakyatnya pula cuba menyesuaikan diri dengan normal baharu, saya percaya Malaysia boleh melepasi kemelut ekonomi untuk kembali berdaya saing di pentas dunia dengan bantuan kerajaan, para pemimpin perniagaan dan juga rakyat Malaysia,” kata Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.
Menurut Kim Hong, pihaknya akan menjadi penerajui kepada lebih 100 buah syarikat untuk sama-sama mengukuhkan semula ekonomi negara.
Syarikat terkemuka antarabangsa dan tempatan juga akan menyertai pameran itu yang membuka peluang-peluang dan menawarkan padanan perniagaan serta memajukan bidang kerjasama baharu bagi meraih hasil pendapatan.
Nama-nama besar melibatkan sejumlah jenama dunia seperti Huawei, HIKvision, SenseTime, Tesla, BMW, Telekom Malaysia, Doubletree Hilton akan menjadikan pameran tahun ini sebagai peluang bagi para pengunjung sama ada orang awam atau komuniti perniagaan untuk mengetahui dan menikmati pengalaman luar biasa.
Beliau juga berkata, penganjuran pameran ini bukan sekadar bertujuan menyatukan minat dan peluang tetapi juga membawa mesej tersendiri dan meraikan daya tahan semangat rakyat Malaysia.
Bagi menjayakannya, Kim Hong turut berjanji untuk melakukan yang terbaik ke arah menggerakkan semua pihak dalam masyarakat supaya menjadi lebih berdaya tahan dalam mengatasi cabaran dan memastikan tahap ketahanan ekonomi demi kebaikan negara dan rakyatnya.
“Selain itu, pameran yang diadakan juga bertujuan membolehkan pengunjung menyelami pelbagai skop kehidupan mereka di SGT – sebuah bandar digital masa depan yang dilengkapi dengan teknologi pintar ke arah mewujudkan komuniti mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
Antara aktiviti-aktiviti lain yang bakal diadakan termasuklah taklimat percuma berkaitan kesihatan, cukai, dan harta benda, pemeriksaan kesihatan dan penglihatan, pandu uji kereta pintar BMW dan Tesla yang baharu, pameran patung-patung tokoh dan artis terkenal seperti Mr Bean di Muzium Lilin Red Carpet 2 . Pengunjung juga boleh memasuki Snow Village dan menikmati pelbagai tarikan lain secara percuma di i-City.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Tang Soke Cheng at 012.2050938 / 03.5521 8866 or email pr@i-bhd.com