EkonomiTerkini

Hutang enam angka, bekas jururawat bangkit menerusi bisnes

Bebanan hutang hingga enam angka tidak menghalang pengasas jenama Faith Fleur dan juga Leaf, Siti Mariam Abdul Samad dan suaminya, Mohamad Abdul Halim Bahadorisam untuk bangkit dan berjaya sekali gus mengubah kehidupan mereka.

Siti Mariam yang merupakan pemilik Ctymary Resources Sdn. Bhd. berkata, perubahan dalam gasa kehidupannya tidak datang dengan mudah sebaliknya ia hasil kesungguhan dan tindakan yang berterusan mengikut ilmu serta strategi yang terbukti berkesan.

Katanya yang merupakan bekas jururawat, tanpa ilmu dan bimbingan mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman, mungkin beliau masih belum berada pada tahap mencapai jualan sehingga mencecah jutaan ringgit setahun.

“Saya bersyukur kerana bukan saja dapat mengubah kehidupan keluarga sendiri malah ribuan orang yang lain terdiri daripada suri rumah, pekerja awam mahupun swasta, graduan yang menjadi ejen Faith Fleur yang mampu menjana pendapatan.

“Dalam Faith Fleur yang memasuki tahun kelima, kami sudah melahirkan beberapa orang usahawan mencapai jualan jualan lebih RM1 juta setahun dan ramai lagi yang bakal menyusul, Insya-Allah.

“Jika saya dan suami mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan dapat menyelesaikan bebanan hutang yang tinggi, tidak mustahil juga bagi anggota masyarakat di luar sana,” katanya ketika ditemui dalam program Jerayawara Jutawan Wanita di ibu pejabatnya hari ini.

Siti Mariam (kanan) menerangkan mengenai produk jualannya kepada Rina pada program Jerayawara Jutawan Wanita di ibu pejabat Faith Fleur, Shah Alam, Selangor hari ini.

Jerayawara Jutawan Wanita adalah bersempena program Wanita Bangkit Berniaga hari ini yang turut menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International), Hasnita Ahmad serta Pengasas Bersama Faith Fleur, Mohamad Abdul Halim.

Jika saya dan suami mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan dapat menyelesaikan beban hutang yang tinggi, tidak mustahil bagi anggota masyarakat di luar sana

Siti Mariam Abdul Samad, Pengasas jenama Faith Fleur

Wanita Bangkit Berniaga merupakan kolaborasi strategik bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah dilancarkan pada 21 Oktober lalu oleh Rina.

Ia akan diadakan pada 26 hingga 28 November depan yang akan menyediakan peluang bagi golongan wanita di negara ini dibimbing malah untuk mulakan perniagaan.

Sementara itu, Rina memberitahu, beliau sangat teruja melihat usahawan jutawan seperti Siti Mariam dan suami yang berjaya bangkit mengubah bukan saja kehidupan sendiri malah ramai keluarga lain.

“Sumbangan mereka bukannya kecil, sebaliknya begitu signifikan kepada institusi kekeluargaan di negara ini dengan memberikan peluang pekerjaan di samping menjana pendapatan sebagai seorang usahawan.

“Mereka ini boleh dijadikan sebagai ikutan dan inspirasi kepada orang ramai terutama golongan wanita yang mahu bangkit dan ubah kehidupan menjadi lebih baik daripada sekarang,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web, wanitabangkitberniaga.com

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: