Mengenali sosok tubuh insan bernama Lan atau Azlan bin Bahrum ini pasti menghadirkan pengalaman unik yang tidak mungkin boleh dilupakan sampai bila-bila.
Menetap di Kuala Terengganu sejak lebih 10 tahun lalu, anak kelahiran Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak itu dikenali kerana sikapnya yang ceria dan adakalanya ‘lebih Terengganu daripada orang Terengganu’ itu sendiri.
Hal ini demikian kerana, loghat Terengganu yang selalu dituturkan oleh bapa kepada tiga orang anak itu (selain loghat Perak dan utara) kadang-kadang diakui lebih pekat daripada penduduk tempatan dan ada dalam kalangan mereka juga terpinga-pinga kerana gagal menangkap butir percakapan Azlan.
Selain berbakat sebagai penghibur spontan, tidak dapat dinafikan bahawa lelaki berusia 36 tahun itu sangat dikenali kerana ‘bidikan emas’nya dalam seni fotografi.
Pandangan mata helang atau ‘eagle eyes’ milik Azlan mampu mengubah imej yang pada awalnya kelihatan biasa menjadi luar biasa dan imej pegun atau ‘mati’ menjadi lebih ‘hidup’.
Gabungan antara daya kreativiti, ketelitian dan imaginasinya pula menjadikan hasil karya bekas jurufoto Utusan Malaysia Biro Terengganu ini sering menerima pujian dan pernah menggondol beberapa hadiah utama dalam pertandingan fotografi.
Antaranya, tempat ketiga Fotografi Terbaik dalam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 menerusi karya bertajuk “Drawbridge – Persiapan Percubaan”, Foto Berita Terbaik (Siswa) Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) 2019 di samping turut terpilih dalam foto terbaik bulanan pilihan Editor Foto Utusan Malaysia selain gambarnya yang beberapa kali dipaparkan dalam ruangan muka hadapan akhbar.
Maka, tidak hairanlah sekiranya suami kepada wartawan Sinar Harian Terengganu, Norhaspida Yatim itu adakalanya mengambil masa yang terlalu lama untuk merakam satu-satu imej atau subjek demi kepuasan fotografi selain menjaga kualiti karyanya.
Dalam kalangan media Terengganu pula Azlan juga sinonim sebagai pemenang tradisi bagi setiap acara cabutan bertuah yang dianjurkan mana-mana jabatan mahu pun institusi pengajian tinggi (IPT). Bukan hadiah biasa-biasa yang berupa hamper sebaliknya kategori hadiah utama dan antara yang pernah dibawa pulang termasuk peti ais, televisyen serta almari.
Selaku rakan sepejabat, tentunya penulis tidak melepaskan peluang untuk mengorek rahsia tuahnya itu tetapi ringkas dijawab Azlan “Tu semua rezeki, kalau kita selalu berdoa dan memberi”. Jarang sekali perbualan kami bernada serius seperti itu.
Ya, Azlan seperti penulis dan rakan-rakan media yang lain kenali merupakan individu yang gemar bergurau, mengusik dan ‘membuli’ sesiapa sahaja yang baik dengannya, namun, tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu fotografi yang dimiliki.
Meskipun lama menanggung derita, dia jarang berkongsi kesedihan atau menceritakan perihal sakitnya itu kepada rakan-rakan malah ahli keluarganya sendiri.
Penulis masih ingat seusai Azlan selesai menjalani pembedahan di bahagian ibu jari kakinya beberapa tahun lalu akibat gout dan terpaksa berpisah buat sementara waktu dengan isteri dan anak kecilnya.
Azlan seboleh mungkin cuba untuk tersenyum dan berlawak walaupun lawaknya agak janggal untuk kami ketawa kerana umum mengetahui dia enggan melihat rakan-rakannya bersedih dengan nasib yang menimpa dirinya itu.
Kini, sakit Azlan semakin melarat dan Azlan yang dahulu juga bukanlah Azlan yang sekarang.
Pembidik atau perakam sejarah yang ‘bersenjatakan kamera’ itu umpama ‘sang helang yang patah sayapnya’ setelah didiagnosis mengidap masalah buah pinggang tahap tiga baru-baru ini selain bergelut dengan penyakit gout yang membelenggu dirinya sejak sekian lama.
Azlan yang sebelum ini dikatakan agak tertekan selepas bekas majikannya, Utusan Malaysia menutup operasi secara mengejut kira-kira tujuh bulan lalu juga hilang keupayaan untuk bergerak sendiri.
Justeru, dia terpaksa diuruskan sendiri oleh isterinya yang turut memainkan peranan besar dalam menguruskan tiga lagi anak mereka yang masih kecil.
Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada Azlan bolehlah berbuat demikian di akaun miliknya, 1140 7607 1284 (Maybank) atau isterinya, 156057287629 (Maybank) atau hubungi nombor 019-957 6620. – KLIQ NEWS