Gelandangan ditemuduga bekerja
Sekumpulan golongan gelandangan di ibu kota telah diberikan taklimat dan melalui proses temuduga bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter miliknya semalam, berkongsikan tiga gambar proses taklimat dan temuduga tersebut.
“Taklimat dan proses temuduga gelandangan. Saya amat bersyukur mereka sahut seruan saya untuk memulakan hidup lebih baru.
“Semoga dengan berkat Ramadhan, kita semua beroleh keampunan dan keredhaan Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, Annuar memaklumkan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur akan diberikan latihan dan kursus suai kenal pendek bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.
Ia merupakan inisiatif bagi mengurangkan gelandangan di ibu negara yang kini berjumlah 800 orang.
Jelas Annuar, sebanyak 500 ke 700 peluang pekerjaan termasuk sebagai operator pengeluaran akan disediakan di kilang-kilang tertentu di Lembah Kelang untuk diisi oleh golongan tersebut.
Malah ada di antara mereka kelak turut akan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja bergaji harian yang akan dikendalikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).- KLIQ NEWS