FC Seoul didakwa guna patung seks sebagai penyokong
Kelab gergasi Liga bola sepak Korea Selatan (K-League), FC Seoul berdepan risiko dihukum kerana didakwa menjadikan ‘patung seks’ sebagai penyokong dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Jawatankuasa Lembaga Disiplin K-League akan mengadakan mesyuarat tatatertib untuk memutuskan perkara tersebut dengan mengambil kira sama ada hal itu telah melanggar undang-undang atau mencemarkan imej liga negara tersebut, menurut agensi berita Yonhap News.
K-League tetap diadakan ketika ini tanpa kehadiran penyokong ekoran kebimbangan terhadap ancaman Covid-19. Tindakan membawa boneka tersebut bertujuan memeriahkan suasana stadium kononnya terdapat kehadiran penyokong.
Berdasarkan gambar yang tular, patung yang didakwa sering digunakan untuk fantasi seks itu dipasangkan dengan jersi FC Seoul dan memakai topeng muka.
FC Seoul mendakwa mereka tidak tahu boneka bersaiz manusia yang dibekalkan itu adalah patung seks dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat pembekal.-KLIQ NEWS