Seni & HiburanSejarah

Di sebalik lirik lagu Dendang Perantau

“Stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu ‘Dendang Perantau’ sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu, saya pun berasa sayu juga”

Demikian seloroh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khasnya pada 10 Mei lalu.

Ia susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri untuk berhari raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sehingga 9 Jun ini.

Sehubungan itu, ramai yang pasti tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya.

Tiada lah tahun ini kita dengar kesesakan di lebuh raya, orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung. Tiada juga berita nampak tentang tiket bas yang kehabisan, direbut awal lagi.

Bagi pasangan suami isteri, tidak timbul isu kampung siapa yang mereka perlu pulang terlebih dahulu, raya tahun ini lain betul.

Jadi, lagu Dendang Perantau nyanyian dan ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee amat tepat untuk dimainkan pada waktu ini.

Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku

Di tepian mandi
Danauku hijau yang damai selalu
Nun di sanalah tempatku bertemu
Aku dan dia

Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu dendang perantau

Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu dendang perantau

Dendang Perantau, S. Sudarmaji

Mungkin sebelum ini, tidak ramai yang terkesan apabila ia diputarkan di corong radio ataupun di kompleks beli belah.

Tahun ini, ia pasti berbeza, jumlah mereka yang beremosi dan mengalir air mata apabila Dendang Perantau berkumandang, pasti lebih besar jumlahnya.

Ini kerana, lebih ramai pada tahun ini yang beraya di perantauan, di kota sedangkan kampung tercinta nun jauh di mata.

Siapa penulis lirik lagu Dendang Perantau?

Semua orang tahu, lagu Dendang Perantau ini dinyanyikan oleh P. Ramlee dan seniman negara itu turut mencipta lagunya.

Malah dilaporkan, lagu ini terdapat dalam dua versi. Pertama kali ia dirakamkan pada tahun 1950-an oleh P. Ramlee dengan iringan muzik berbentuk orkestra.

Pada tahun 1966, P. Ramlee sekali lagi merakam lagu itu dalam bentuk muzik pop menggunakan tiga gitar, organ dan drum.

Lagu yang cemerlang tidak mungkin dapat dihasilkan tanpa lirik yang menyentuh perasaan, begitu juga halnya dengan Dendang Perantau.

Di sebalik menjadi siulan ramai terutama menjelang hari raya, masih ramai yang tidak mengetahui dan mengingati siapa penulis liriknya.

Lirik Dendang Perantau adalah hasil karangan S. Sudarmaji atau nama sebenarnya Syed Sudarmaji Bin Syed Abdullah.

Beliau dilahirkan pada 19 Jun 1923 di Jogjakarta, Indonesia dan meninggal dunia pada 23 April 1989 pada usia 65 tahun di Kuala Lumpur.

S. Sudarmaji pada usia mudanya.

S. Sudarmaji dikenali bukan hanya sebagai penulis lirik lagu malahan beliau merupakan insan penting yang menjalankan kerja-kerja belakang tabir di era kegemilangan filem Melayu di Singapura.

Beliau berkebolehan sebagai guru tarian, penulis skrip, penolong pengarah dan pengarah, jadi tidak hairan S. Sudarmaji diibaratkan sebagai tangan kanan kepada P. Ramlee dalam menterjemahkan sesebuah karya.

Ini kerana hampir kesemua filem arahan P. Ramlee menggunakan khidmat beliau sebagai penolong pengarah bermula dengan filem Penarek Becha. Antara filem lain yang menyaksikan beliau bertindak sebagai penolong pengarah ialah filem Bujang Lapok, Sarjan Hassan, Ali Baba Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku.

Poster filem Penarek Becha

Beliau juga berlakon dalam beberapa buah filem dan antara yang terkenal ialah Tiga Abdul, Nasib Si Labu Labi, Antara Dua Darjat dan Hang Tuah.

S. Sudarmaji bergambar bersama P. Ramlee

S. Sudarmaji juga menjadi penulis lirik bagi lagu-lagu ciptaan P. Ramlee selain Jamil Sulong dan Ainol Jamal. Dikatakan beliau telah menghasilkan lebih kurang 128 buah lirik lagu dan antara yang popular ialah Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang dan Jeritan Batinku.

Menurut laman Facebook Suatu Kelahiran, kehebatan S. Sudarmaji di dalam bidang penulisan adalah bermula ketika masih remaja.

Beliau terlibat di dalam pembentukan Angkatan 45 bersama tokoh penglipur lara dari Indonesia antaranya Chairil Anwar, Asrul Sani, Achdiat K Mihardja dan Rivai Apin. Itu yang menyebabkan segala bentuk penulisan beliau sangat tinggi nilainya dari sudut bahasa dan seni.

Menurut Muhaimin Sulam menerusi artikel ‘Melihat makna perantau dari lagu lama’ yang disiarkan portal Malaysiakini pada 31 Mac 2017, istilah rantau yang terdapat pada rangkap terakhir lagu Dendang Perantau merupakan rakaman sifat perantau yang mempunyai rasa ingatan kuat pada kampung halaman yang ditinggalkan.

“Pada P. Ramlee dan S. Sudarmaji, lagu adalah salah satu kaedah mengingati kampung halaman mereka. Dendang Perantau adalah luahan perantau yang tidak dapat kembali berhari raya bersama keluarga di kampung. Ini jua berkaitan dengan bdaya balik kampung dalam tradisi orang Melayu perantau.

“Semasa S. Sudarmaji lahir, Indonesia sebagai sebuah negara belum wujud lagi. Yang ada adalah gugusan kepulauan Melayu yang dijajah oleh kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Portugis.

“S. Sudarmaji bukan orang asing. Dia adalah perantau seperti P. Ramlee, meninggalkan desa halamannya di Pulau Pinang ke Singapura,” kata Muhaimin.

S. Sudarmaji meninggal dunia akibat penyakit kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Kamisah Kamijo (meninggal dunia pada 11 September 1998 pada usia 90 tahun akibat sakit tua).

Watak kanak-kanak bernama Ayu yang terkenal dengan duit 20 sen dalam filem Bujang Lapok adalah merupakan anak Allahyarham iaitu yang bernama Sri Rahayu.

Watak Ayu dalam filem Bujang Lapok.

.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: