Ekonomi

Tiada penangguhan pembayaran balik LPPSA

Oleh BADRUL HM ISA

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memutuskan tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan LPPSA.

Menerusi notis makluman yang disiarkan di akaun Facebook LPPSA, keputusan itu dibuat berdasarkan keyakinan kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan untuk penangguhan diberikan buat masa ini.

Malah menurut notis tersebut juga, sebarang moratorium atau penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran tunai pihak LPPSA dan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.

“LPPSA bertanggungjawab memastikan kelangsungan dan sumber kewangannya kekal utuh demi memastikan manfaat pembiayaan dan perumahan dapat terus disediakan kepada penjawat awam sedia ada dan akan datang.

“Secara asasnya, penjawat awam dan pesara kerajaan masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan LPPSA,” kata kenyataan itu.

Jelas LPPSA lagi, kebajikan penjawat awam di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Prihatin (Prihatin) tetap menjadi salah satu keutamaan kerajaan.

Ia termasuklah melalui pemberian bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara kerajaan.

Bagi penjawat awam yang tergolong dalam B40 dan M40, bantuan juga disediakan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) manakala baki bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) juga akan dibayar.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: