Kejayaan S. Kisona meraih pingat emas dalam acara badminton perseorangan wanita dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina ternyata sesuatu yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
Tiada siapa yang menjangkakan, apatah lagi kehadiran Kisona yang berada dalam ranking ke 104 dunia hanyalah sebagai pengganti kepada Goh Jin Wei.
Jadi, kemenangan Kisona diraikan penuh kegembiraan banyak pihak, bertalu-talu ucapan tahniah diterima pemain muda ini termasuk daripada pihak Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
Sarjan Mejar Selvaduray kini berkhidmat di Cawangan Latihan IPK Negeri Sembilan |
Rupa-rupanya, bapa Kisona merupakan seorang anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. Perkara itu didedahkan menerusi akaun Facebook Polis Negeri Sembilan.
Bapa Kisona iaitu Sarjan Mejar A.Selvaduray kini sedang berkhidmat di Cawangan Latihan IPK Negeri Sembilan.
Menerusi komen pengguna Facebook dalam hantaran tersebut, ramai yang turut mengucapkan tahniah kepada Selvaduray yang telah berjaya mendidik dan gigih menjadikan Kisona bintang baru badminton negara.
“Tahniah SM Durey..ingat lagi…dulu angkut anak-anak bawa ke dewan utk latihan, sekarang sudah membuah kan hasil, ” kata Selamat Mardi.
“Usahanya yang rajin sejak kecil dan didikan daripasa ayahnga di sekolah cina Kuala Klawang, pakai kereta warna biru,” kongsi Apit Lorenzo pula.
“Dulu kenal masa pernah khidmat di Jelebu… Kpl Doray Balai Klawang…. Memang sejak kecil anak dia dilatih main badminton… Di Gelanggang Sekolah Yuk Hwa dan Dewan MDJ (Majlis Daerah Jelebu) tahniah membawa kejayaan untuk negara akhirnya,” menurut Shahnon Ariffin Ah Nun.