CUEPACS gesa campur tangan MB Selangor

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengambil tindakan sewajarnya dalam isu pemecatan lebih 30 pekerja kontrak di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pihaknya mendapat aduan lebih 30 pekerja kontrak di MPSJ ditamatkan perkhidmatan mereka dalam tempoh 24 jam tanpa notis pemberitahuan awal serta alasan yang munasabah.

Amirudin (enam, dari kanan) menerima kunjungan hormat daripada CUEPACS di Pejabat Menteri Besar di Shah Alam, Selangor

Jelas Adnan, tindakan pemecatan tersebut adalah amat tidak wajar seolah-olah tiada langsung sumbangan yang diberikan selama mereka bekerja apatah lagi negara ketika ini dalam proses pemulihan dan terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Terdapat juga ketua-ketua jabatan di MPSJ bertindak tidak profesional dan menekan pekerja bawahan mereka terutama staf kontrak. Tindakan tersebut telah menimbulkan situasi yang tidak harmoni di tempat kerja.

“Justeru, CUEPACS berharap kerajaan negeri Selangor dapat memberi perhatian dan keutamaan serius mengenai perkara ini agar nasib rakyat dan penjawat awam di Selangor dapat dibela,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Amirudin di Shah Alam, hari ini.

Tambah Adnan, campur tangan daripada Amirudin selaku ketua eksekutif di Selangor amat penting bagi memastikan perkara yang sama tidak dilakukan oleh agensi lain atau pihak berkuasa tempatan di Selangor.

“CUEPACS juga menggesa MPSJ selaku bekas majikan mengambil semula kesemua pekerja-pekerka kontrak yang telah diberhentikan dalam tempoh PKP dan pasca Covid-19 sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS juga meminta kerajaan negeri Selangor menyerap pegawai lantikan kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun ke dalam perkhidmatan secara tetap.

Beliau berkata, permintaan tersebut adalah selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada Kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2016 sebagai menghargai sumbangan pegawai lantikan kontrak.

“Bagaimanapun CUEPACS mendapati ada pihak berkuasa tempatan tidak membuat lantikan tetap tersebut, malah ada aduan yang diterima, pegawai kontrak ini ditamatkan perkhidmatan mereka walaupun telah bertugas dalam tempoh yang lama.

“CUEPACS berharap kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar dapat mempertimbangkan permintaan ini bagi memastikan kebajikan penjawat awam di Selangor terbela,” katanya.

Editor

Related Posts

Sejarah t-shirt polo

Sebagai seorang lelaki anda

Read more

Thailand lebur impian Malaysia ke final Piala AFF

Skuad bola sepak kebangsaan,

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: