Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
Aplikasi Whatsapp yang kini digunakan oleh lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia dijangka mengetatkan proses penghantaran mesej atau ‘message forwarding’ kepada had tertentu dalam satu-satu masa.
Langkah itu dikatakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan penyebaran maklumat palsu mengenai COVID-19, lapor Reuters.
Dalam satu kenyataan berkaitan, jurucakap Whatsapp memberitahu, pihaknya percaya penyebaran maklumat palsu itu akan berjaya diperlahankan sekiranya langkah tersebut dikuatkuasakan selepas ini.
Sejak tahun lepas, pengguna aplikasi Whatsapp yang kini telah dimiliki oleh Facebook hanya dibenarkan membuat penghantaran mesej khususnya secara berangkai kepada lima individu atau kumpulan Whatsapp sahaja pada satu-satu masa.
Mesej yang dihantar lebih daripada jumlah itu bagaimanapun akan diletakkan label atau tanda sebagai peringatan.
Sementara itu, pandemik COVID-19 dikatakan telah meragut lebih daripada 70,000 nyawa di seluruh dunia.
Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggelar penyebaran maklumat yang salah mengenai wabak itu sebagai ‘infodemic of misinformation’ yang pastinya perlu ditangani segera.