Platform perkongsian video, TikTok yang popular di Indonesia telah menyumbang sebanyak 100 bilion rupiah bersamaan USD6.28 juta bagi membantu melawan pandemik COVID-19 di negara tersebut.
Menurut portal Kompas.com, sumbangan berkenaan telah diserahkan kepada Gugus Tugas Percepatan Penanganan COVID-19, semalam.
Bantuan tersebut akan diperuntukkan untuk penyediaan peralatan kesihatan dan perubatan yang diperlukan petugas kesihatan di Indonesia.
Menurut Ketua Gugus Tugas Percepatan Penanganan COVID-19, Doni Monardo, sumbangan tersebut akan digunakan untuk mengekang penularan COVID-19 di Indonesia termasuk menyediakan alat pelindung diri untuk petugas-petugas kesihatan.
Sehubungan itu, Doni amat berterima kasih kepada pihak Tiktok atas bantuan yang diberikan tersebut.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam TikTok Indonesia, Malaysia dan Filipina, Donny Eryastha berkata, pihaknya memberikan komitmen dalam menyokong dan memberi bantuan secara global.
“Bersama dengan masyarakat yang telah menjadikan TikTok rumah mereka, kami ingin mengambil bahagian kecil dan menyokong kerajaan Indonesia melalui bantuan wang tunai untuk menyediakan peralatan perubatan bagi petugas kesihatan yang telah menjadi pahlawan penjaga depan di tengah pandemik ini,” kata Donny.