Kemanusiaan

Islamic Relief Malaysia sumbang daging korban

Tahun ini merupakan tahun kedua umat Islam meraikan sambutan Aidiladha dalam suasana pandemik, bagaimanapun, tuntutan dalam ibadah korban tetap terus dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Bagi Islamic Relief Malaysia, pelaksanaan ibadah korban bukan hanya sekadar untuk menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan Allah tetapi ia lebih kepada menjadi jawapan bagi doa-doa penerima manfaat yang hanya dapat merasai nikmat juadah daging sekali dalam setahun atau mungkin sekali seumur hidup.

Kakitangan Islamic Relief Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) sama-sama berganding bahu menjayakan program korban di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, menerusi program Rezeki Qurban, pihaknya menyumbangkan daging korban kepada penerima memerlukan selain bantuan pek makanan dan kit kesihatan.

“Alhamdulillah, seramai 1,390 keluarga B40 dan ke bawah bersamaan hampir 7,000 penerima manfaat berjaya disantuni dengan sumbangan satu hingga dua kilogram daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang melibatkan penyembelihan 21 ekor lembu di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Ia hasil sumbangan daripada MBSB Bank dan pelaksanaan korban peserta.

“Jumlah ini sangat jauh daripada sasaran awal kami dan saya mewakili keluarga besar Islamic Relief ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan menerusi sumbangan dan penyertaan ibadah korban melalui kempen Rezeki Qurban #zahirkankesyukuran anjuran Islamic Relief Malaysia pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Proses gerak kerja edaran daging korban yang telah dijalankan mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysian Relief Agency (MRA), MyAmal Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, ketua komuniti setempat, ahli persatuan penduduk dan kumpulan sukarelawan.

Bagi agihan di Kuala Lumpur pula, ia turut mendapat kebenaran dari pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Antara lokasi penerima manfaat edaran daging korban di negara ini ialah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3A, Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3B dan Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Kuala Lumpur.

Kakitangan Islamic Relief Palestin menyerahkan sumbangan daging korban kepada seorang penduduk di Gaza

Di Sabah, ia dilaksanakan di Pulau Jampiras, Sandakan; Kampung Bungaliu, Tamparuli; Kampung Sambah, Tenghilan; Kampung Tambulion, Kota Belud; Kampung Perpaduan Ria, Kampung Simpang Mengayau, Kampung Matunggong, Sekolah Tahfiz di Kudat dan Kampung Penangah di Tongod, Sabah.

Turut diagihkan adalah sebanyak 1,389 bahagian korban kepada penerima manfaat di 28 buah negara seperti Yaman, Somalia dan Palestin. – KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: