Kemanusiaan

Islamic Relief Malaysia terus bantu dalam kempen rayuan musim sejuk

Islamic Relief Malaysia menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk akan terus membantu individu terkesan dengan ancaman cuaca sejuk melampau di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat dekat Afghanistan serta Idlib dan Aleppo di Syria.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pihaknya kini menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM300,000 sehingga 31 Disember ini bagi menyalurkan bantuan makanan dan barangan bukan makanan atau Non-Food Items (NFI) di kedua-dua buah negara tersebut.

Kanak-kanak di Syria ketika menghadapi musim sejuk.

“Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina iaitu sejenis bahan pemanas diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.

“Kaedah penyaluran bantuan yang biasa diguna pakai oleh Islamic Relief bagi bantuan musim sejuk terdiri daripada tiga kaedah iaitu serahan barangan sumbangan secara terus kepada penerima manfaat, penggunaan baucar belian yang boleh ditebus di pasar raya dan kedai-kedai terpilih serta kaedah sumbangan wang tunai kepada penerima manfaat atau pembayaran kepada syarikat pembekal.

Barangan bantuan yang diberikan kepada penerima manfaat pula diperolehi daripada pasaran tempatan bagi membantu menjana ekonomi negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penerimaa manfaat kempen Rayuan Musim Sejuk di Afghanistan.

Tambah Zairulshafuddin, tahun ini, Islamic Relief Malaysia masih lagi meneruskan kesinambungan penggunaan pakej
sebagai strategi promosi bagi memudahkan masyarakat memahami konsep bantuan yang disalurkan seterusnya menyertai kempen ini.

“Terdapat dua pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk kali ini iaitu Stay Warm With Love dengan nilai RM150 dan Stay Safe With Love bernilai RM250.

“Bagaimanapun, kami juga mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau lagi, dana yang dikumpulkan menerusi tabung tersebut bakal memberi manfaat kepada 4,844 individu
dengan pecahan 1,904 penerima manfaat yang terdiri daripada 272 keluarga di Afghanistan dan 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Syria.

Katanya, kriteria pemilihan penerima bantuan di Afghanistan dan Syria antaranya melibatkan ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU), golongan berpendapatan rendah, ibu mengandung dan menyusu, dan juga keluarga yang terjejas impak Covid-19, pelarian dalam negara (IDP), isi rumah yang tiada pendapatan dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.

“Antara signifikan mengapa tahun ini Islamic Relief Malaysia memilih untuk terus menyalurkan bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria adalah kerana konflik kemanusiaan yang membelenggu mereka sudah memasuki satu dekad.

“Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dalam keadaan serba tiada, bayangkan bagaimana mereka mampu melalui cabaran cuaca sejuk melampau di kem pelarian serta bangunan tinggal yang hampir musnah dalam serangan yang berlaku,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: