Pendidikan

Cabaran Universiti Limkokwing kekal kejayaan di Sierra Leone

Kejayaan Universiti Limkokwing membuka kampus antarabangsanya di bumi Afrika terutama di Sierra Leone, membuktikan institusi pengajian tinggi swasta itu dalam memberikan saingan kepada institusi lain yang bertaraf dunia.

Ia juga secara tidak langsung ‘menutup mulut’ dan pandangan negatif segelintir pihak yang suka memperlekehkan kemampuan universiti itu sehingga dikatakan tidak setanding dengan institusi antarabangsa lain.

Namun, untuk mengekalkan kejayaan itu adalah satu cabaran besar apatah lagi dengan insiden turun naik,dan cabaran berliku sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Begitupun, kedengaran juga suara yang beranggapan bahawa  peranan Universiti LimKokwing dalam memperkasakan pendidikan dan modal insan belia-belia Afrika sebenarnya tidak penting kerana institusi itu masih belum bersedia sepenuhnya.

Usaha untuk memperbetulkan persepsi seperti itu sesungguhnya bukan satu tanggungjawab mudah.

Mekanisme kejayaan yang dicapai untuk menempatkan nama institusi tempatan di persada antarabangsa itu perlu dianggap sebagai satu lonjakan dunia pendidikan tinggi Malaysia.

Naib Presiden Kanan Pembangunan Korporat Universiti Limkokwing,
Datuk Gail Phung

Naib Presiden Kanan Pembangunan Korporat Universiti Limkokwing, Datuk Gail Phung berkata, sebagai sebuah universiti yang meletakkan pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan sebagai sasaran utama, kejayaan menempatkan Universiti Limkokwing di Sierra Leone bersama institusi bertaraf dunia lain antara pencapaian terbesar universiti itu.

“Kejayaan membuka kampus Universiti Limkokwing di ibu kota Freetown, Sierra Leone sejak 2014 adalah satu pencapaian membanggakan untuk sistem pendidikan tinggi Malaysia.

“Ia boleh dijadikan penanda aras Malaysia dan Universiti Limkokwing bagi memulakan langkah menjadikan institusi pengajian tempatan bertahap lebih antarabangsa serta dikenali dunia luar, sekali gus membolehkan pihak luar mengenali jenama serta kemampuan  Malaysia untuk bersaing dengan jenama antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, banyak pihak suka memperlekehkan kemampuan institusi tempatan Malaysia dengan tidak me­ngambil kira sensitiviti mahupun usaha keras dilakukan.

Menurutnya, sikap itu perlu diubah kerana bukan saja akan memberi imej buruk kepada masyarakat malah seperti memperlekehkan usaha pelbagai pihak bagi memartabat­kan lagi jenama institusi Malaysia.

“Saya akui, sukar memuaskan hati semua pihak tapi sikap seperti itu tidak bagus untuk perkembangan sistem pendidikan negara.

“Kita perlu positif dan berusaha menjadikan  institusi setanding universiti ternama dunia serta dikagumi,” katanya.

Kampus Universiti Limkokwing di Sierra Leone.

Namun begitu, Gail menjelaskan, untuk membuktikan institusi pengajian tinggi swasta itu berjaya menempa nama di bumi Afrika bukan suatu yang mudah, pelbagai cabaran ditempuhi oleh universiti dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi di Sierra Leone.

Jelasnya, pada peringkat awal permulaan cabaran Universiti Limkokwing ialah ketika berdepan dengan wabak penyakit Ebola yang melanda negara itu pada 2014 sehingga menyebabkan universiti terpaksa menunda sesi pengajaran dan pembelajaran pada semester pertama penubuhannya.

“Lebih 1,000 pelajar yang mengikuti pengajian di universiti tersebut dipercayai dijangkiti penyakit Ebola sehingga boleh membawa kematian.

“Ketika berdepan dengan wabak itu, atas dasar tanggungjawab dan sosial korporat, Universiti Limkokwing telah memainkan peranan yang besar dan membela nasib pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di universiti dengan menyediakan pelbagai bantuan.

“Penularan wabak Ebola itu memberi kesan kepada pengurusan universiti selepas kampus  Universiti Limkokwing dilancarkan dan dirasmikan beberapa bulan sebelum itu sebaik universiti menaik taraf kemudahan kampus tersebut,” katanya.

UNIVERSITI BANTU KERAJAAN SIERRA LEONE TANGANI WABAK EBOLA

Dalam tempoh penularan wabak Ebola tersebut, Gail berkata,  Universiti Limkokwing  turut membantu mempromosi usaha-usaha kerajaan Sierra Leone dalam memerangi wabak Ebola melalui  kempen-kempen hebahan di radio, cetakan umum di media cetak dan di televisyen.

“Kempen berkenaan telah berjaya menaikkan semangat rakyat Sierra Leone untuk menewaskan penyakit berkenaan.

“Usaha dalam meningkatkan kesedaran dalam menangani wabak Ebola dalam kalangan rakyat Sierra Leone akhirnya, selepas dua tahun negara itu bebas daripada penyakit Ebola dan pada Julai 2016, kampus Universiti Limkokwing dibenarkan beroperasi semula dengan jumlah pelajar seramai 1,092 orang.

“Universiti Limkokwing menyokong usaha kerajaan Sierra Leone dengan menawarkan sebahagian yuran pengajian kepada pelajar-pelajar universiti itu.

SEBAHAGIAN daripada kakitangan dan pelajar yang terlibat dalam menjayakan Kempen Stop Ebola di Sierra Leone.

Pada 17 Mac 2017, Universiti Limkokwing relah dirasmikan oleh Presiden Sierra Leone, Dr. Ernest Bai Koroma. Walau bagaimanapun masalah pengurusan negara mula kembali apabila menyaksikan bahang Pilihan Raya Umum Sierra Leone yang telah diadakan pada bulan Mac 2018,” katanya.

DASAR ANTI RASUAH DIPERKENALKAN KERAJAAN BAHARU

Dalam pada itu, Gail berkata, kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum di Sierra Leone itu telah memperkenalkan dasar polisi baharu dengan menjalankan siasatan penyelewengan kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Jelasnya, penyandang jawatan Presiden, Ernest Bai Koroma memilih tidak bertanding selepas mengisi jawatan tersebut  selama dua penggal iaitu selama 10  tahun.

Ketika kerajaan baharu mengambil alih daripada pentadbiran kerajaan lama mereka telah melaksanakan  dasar baharu dan menjalankan sisatan isu penyalahgunaan kuasa kerajaan terdahulu.

“Pihak universiti turut menerima tempias apabila berdepan rutin pemeriksaan biasa yang menyaksikan universiti yang merupakan pelabur luar dan antarabangsa diminta melakukan pengistiharan dana melalui program pembiayaan biasiswa pengajian pelajar –pelajar Sierra Leone yang belajar di Universiti Limkokwing.

“Biasiswa tersebut dihentikan sementara bagi membolehkan universiti menjalankan audit pada bulan Mei 2018. Ekoran daripada isu tersebut, universiti terpaksa menanggung kerugian besar bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar yang sedang menuntut di universiti berkenaan.

“Atas usaha memartabatkan pendidikan di peringkat antarabangsa pihak universiti tetap meneruskan pengajian kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus berkenaan,” katanya.

LIMKOKWING BANTU SIASATAN SURUHANJAYA ANTI RASUAH SIERRA LEONE

Namun menurut Gail, akhirnya pada bulan Mac 2020, pihak universiti  dijemput untuk membantu kerajaan Sierra Leone menjalankan siasatan terhadap salah guna kuasa oleh bekas Menteri Pendidikan yang lalu dan keputusan berkenaan telah disiarkan dalam akhbar-akhbar  tempatan.

“Laporan berkenaan melibatkan isu memorandum persetujuan antara Universiti Limkokwing dan kerajaan Sierra Leone atas cadangan menilai semula struktur  yuran pengajian.

” Pihak kerajaan Sierra Leone telah menyelesaikan yuran pengajian yang tertunggak kepada Universiti Limkokwing dan menilai semula kuasa Menteri Pengajian Tinggi dalam pemberian biasiswa,” katanya.

UNIVERSITI LIMKOKWING PERKASA PROGRAM KEWANGAN PENDIDIKAN SIERRA LEONE

Akhirnya, atas peranan besar Universiti Limkokwing dalam membangunkan modal insan rakyat negara itu, Universiti Limkokwing  dijemput  oleh kerajaan Sierra Leone untuk menghadiri mesyuarat bersama universiti umum bagi membincangkan program bantuan kewangan untuk pelajar baharu.

“Menteri Teknikal dan Pendidikan Tinggi Sierra Leone telah mencadangkan usul tersebut ke Parlimen bagi menilai persetujuan memorandum bagi menyesuaikan kerajaan dan Universiti Limkokwing dalam pelaksanaan program pembangunan modal insan.

“Pihak universiti telah membantu kerajaan Sierra Leone untuk menjalankan rutin audit dalam menunjukkan komitmen universiti terhadap kreadibiliti universiti mematuhi undang-undang.

“Akhirnya Universiti Limkokwing telah menjadi pencetus pendidikan Malaysia di Sierra Leone , Afrika. Cabaran berliku telah banyak ditempuh universiti dan menjadi tanggungjawab universiti untuk memperkasakan bidang pendidikan tinggi antarabangsa,”katanya.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: