BPN: Perluas penerima kepada golongan berdaftar SSM tidak aktif
Kerajaan disaran supaya memperluaskan Bantuan Prihatan Nasional (BPN) kepada golongan yang pernah mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun kini sudah tidak lagi aktif berniaga.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau difahamkan, sesiapa yang mendaftar perniagaan dengan SSM secara automatik tidak layak untuk mendapat BPN.
Mereka ini, menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebaliknya perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP) dengan bantuan yang diberikan berjumlah RM3,000.
Namun, menurutnya, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk memohon GKP yang antaranya adalah jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.
Namun apa yang dikhuatiri ketika ini, terdapat golongan pemohon BPN yang kini sudah tidak lagi aktif berniaga, kembali menjadi pekerja, bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa ataupun perniagaan mengalami kerugian dan tidak mempunyai sumber pendapatan.
“Daripada segi pertimbangan ekonomi, mereka ini perlu dimasukkan dalam kategori yang berkelayakan bagi mendapat BPN.
“Tetapi malangnya mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan untuk melayakkan mereka mendapat bantuan atas alasan kerana mereka pernah mendaftar perniagaan walaupun perniagaan itu sudah tidak aktif,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, alasan yang digunakan sebelum ini bahawa “sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dgn SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai seperti BSH, BPN adalah sebenarnya tidak tepat.
Jelas Ahmad Zahid, di negara ini terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil, mengambil gaji bulanan sedikit sahaja dari syarikat mereka, keuntungan syarikat yang diaudit sangat kecil malah ada syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang mengalami kerugiaan.
“Saya berpandangan, sekiranya jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan (dari dividen syarikat dan gaji bulanan yang diambil), maka kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka menerusi BPN.
“Sekiranya ini dilaksanakan, pada hemat saya, secara tak langsung kerajaan dapat galakkan rakyat untuk melaporkan pendapatan secara telus dan jujur pada masa akan datang.
“Justeru, saranan saya adalah kerajaan perlu memperluaskan bantuan BPN kepada golongan ini agar tujuan pakej rangsangan ekonomi yang dirangka kerajaan mencapai objektifnya,” katanya lagi.-KLIQ NEWS.