AntarabangsaKemanusiaanTerkini

Islamic Relief Malaysia sasar agih 12,000 pek makanan

Meneruskan projek bermusim yang dilaksanakan setiap tahun, Islamic Relief Malaysia hari ini melancarkan kempen Rezeki Ramadan dengan slogan #gandakanpahala bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM2.4 juta bagi membantu golongan rentan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pihaknya bersedia untuk menyalurkan bantuan tersebut walaupun berhadapan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Bantuan pek makanan Islamic Relief kepada pelairan Syria

“Secara keseluruhan, projek bantuan pek makanan semasa bulan Ramadan ini bukan sahaja dilaksanakan di dalam Malaysia tetapi juga di negara-negara lain di mana Islamic Relief beroperasi.

“Memberi makan kepada insan lain yang berpuasa adalah sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam justeru kempen Rezeki Ramadan ini membuka peluang kepada masyarakat untuk sama-sama membantu golongan memerlukan meringankan beban mereka di bulan
Ramadan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan pek makanan sempena Ramadan di Sri Lanka

Menurut Zairulshahfudin, kebanyakan daripada golongan sasaran ini adalah mereka yang amat terjejas dari segi pendapatan dan keadaan ekonomi keluarga mereka, kesan daripada pandemik Covid-19.

Bagi Islamic Relief, kempen Ramadan menjadi kempen yang sangat ditunggu-tunggu oleh orang ramai memandangkan masyarakat berlumba-lumba untuk membuat sumbangan bagi mengejar pahala berganda.

“Tahun ini, melalui penyertaan bersama Islamic Relief Malaysia, kami menyasarkan bantuan sebanyak 12,000 pek makanan di mana 6,000 pek akan diagihkan di Malaysia manakala 6,000 lagi akan diagihkan di 31 buah negara termasuk Syria, Yaman, Somalia, Indonesia dan Bangladesh.

“Untuk keseluruhan operasi Islamic Relief di peringkat global, sebanyak 217,631 pek makanan disasarkan bagi membantu lebih daripada 1 juta penerima manfaat di 32 buah negara,” katanya.

Menurut Zairulshahfuddin lagi, negara-negara yang bakal menerima pek bantuan makanan itu memenuhi kriteria tertentu seperti; negara yang mempunyai populasi yang tinggi dan mengalami ancaman nutrisi dan makanan, negara yang menghadapi kemelesetan ekonomi
dan menampung jumlah penduduk yang tinggi, tinggal di bawah paras kemiskinan dan juga negara yang mengalami krisis kemanusiaan yang berterusan.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk pakej bantuan pek makanan Rezeki Ramadan #gandakanpahala boleh berbuat demikian di laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: