Berstatus pelarian tidak halang Ruksana kejar impian

Ruksana Nur Mohammad, remaja berusia 18 tahun dan berstatus pelarian Rohingya. Dia juga merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Namun begitu, dia telah membuktikan, jika seseorang diberi peluang sewajarnya untuk mengejar impian, dia, bukan sahaja dapat mengubah masa hadapan malah dia mampu berbakti semula kepada komuniti asalnya untuk sama-sama menaik taraf kehidupan menjadi lebih baik.

Ruksana mula menetap di Malaysia bersama ibu, ayah dan tiga orang adik-beradiknya yang lain pada tahun 2013.

Ketika berumur 14 tahun, kedua ibu bapa Ruksana mendaftarkannya untuk belajar di pusat bimbingan alternatif, Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) yang terketak di Kajang, Selangor.

Pusat bimbingan ini merupakan sebuah sekolah di bawah seliaan Islamic Relief Malaysia. Ia mula ditubuhkan pada Februari 2017.

Pada awalnya, Ruksana berasa bimbang dan kurang keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang lain kerana tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu.

Namun, setelah empat tahun menimba ilmu, Ruksana bukan sahaja mahir berbicara dalam bahasa Melayu malah turut fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Saya rasa sangat bersyukur dan bertuah kerana diberi peluang untuk menuntut ilmu di RISE. Banyak
ilmu yang saya pelajari di sini.

RISE bukan sahaja membantu saya meningkatkan kemahiran berbahasa, malah saya turut berpeluang mempelajari kemahiran sulaman dan membuat kek serta pastri,” kata Ruksana.

Dia telah menamatkan sesi pembelajaran di RISE pada tahun lalu dan ekoran pencapaian akademik, kemahiran dan penguasaan bahasa yang baik, Ruksana kini telah ditawarkan menjadi pembantu guru di RISE bagi mengajar anak-anak Rohingya lain membaca juga mengira.

Pencapaian dan kisah inspirasi Ruksana bukan sahaja boleh dijadikan contoh buat pelajar lain, malah
boleh menjadi pembakar semangat kepada anak yatim juga komuniti pelarian bahawa status bukan penghalang untuk mereka berjaya menggapai cita-cita.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali berbakti kepada komuniti
sendiri. Saya mahu lebih ramai lagi anak-anak yang berstatus seperti saya berjaya mencipta kejayaan
lebih besar pada masa hadapan.

“Terima kasih para guru dan juga penyumbang yang membantu memastikan RISE terus beroperasi sehingga kini. Semoga Allah membalas segala kebaikan dengan sebaik-baik ganjaran,” ujar Ruksana lagi.

Sinergi NGO dan sukarelawan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi prihatin Kolaborasi Islamic Relief Malaysia bersama golongan sukarelawan khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi (IPT) tempatan sudah terjalin sekian lama.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohamad Hood berkata, ia selari dengan visi pihaknya untuk mewujudkan dunia prihatin dengan mengajak masyarakat untuk sama-sama bersatu meringankan penderitaan gologan memerlukan.

“Apabila kita bercakap mengenai kemajuan sesebuah negara, kita pastinya tidak akan lari daripada turut
membincangkan mengenai kebolehmampu generasi muda kita untuk mencorak masa hadapan negara.

“Islamic Relief justeru sentiasa terbuka dan mengalu-alukan penglibatan golongan muda untuk sama-sama menyumbang tenaga dan idea dalam kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan.

“Kami juga menyokong pandangan para ilmuan dan pendidik di IPT bahawa negara kita tidak hanya
memerlukan generasi muda yang cemerlang dalam akademik, malahan kita mahu mereka turut dilengkapi dengan pelbagai kemahiran insaniah lain serta memiliki nilai empati yang tinggi,” katanya.

Antara usaha sama yang pernah dijalankan Islamic Relief Malaysua dengan para penuntut IPT adalah kejayaan membina sistem perpaipan yang bersistematik dari telaga ke kawasan kediaman, masjid dan
tanaman penduduk di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah.

Selain pengumpulan dana bagi membantu projek membekalkan air bersih di Somalia dan sumbangan tenaga bagi aktiviti pembersihan rumah penduduk terjejas banjir di sekitar Lembah Klang.

Mohamad Adam Lai Abdullah (kiri) menyantuni pelajar-pelajar RISE ketika Hari Keusahawanan Pelajar yang diadakan.

Sementara itu, pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Adam Lai Abdullah berkata, banyak pengalaman berharga yang dapat ditimba menerusi penglibatannya dalam kerja-kerja sukarelawan bersama NGO.

“Apabila terlibat dengan kerja-kerja di lapangan, saya dapat belajar secara praktikal tentang cara
berkomunikasi dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

“Ia memudahkan saya untuk lebih memahami ilmu-ilmu teori yang saya pelajari di dewan kuliah.
Selain itu, saya juga dapat menambah rangkaian kenalan dikalangan individu juga golongan
professional,” katanya pada program Hari Keusahawanan Pelajar di RISE, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Dia juga bersetuju bahawa penglibatan mahasiswa dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanan dapat memberi nilai tambah bagi mereka serta membantu menggilap bakat dan kemahiran yang ada.

Tambah Adam, dalam arus kemodenan dunia saat ini, anak muda sepertinya perlu terus kuat membina jati diri agar tidak rapuh dipengaruhi anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan pemikiran kita terutama anak muda Islam.

  • Editor

    Related Posts

    Sejarah t-shirt polo

    Sebagai seorang lelaki anda

    Read more

    Edar pek makanan Ramadan di 11 negara

    Mendepani jangkaan kemelesetan ekonomi

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    %d bloggers like this: