BILA disebut undang-undang dan keadilan. Kedua-duanya sama tapi tak serupa. Dalam keadilan ada undang-undang tapi dalam undang-undang belum tentu ada keadilan.
Namun soal adil atau tidak, ia bergantung kepada penilaian seseorang. Kalau dirasakan memenuhi citarasa, maka adillah. Jika tidak, sebaliknya ia didakwa tidak adil.
Selepas hampir 100 hari perbicaraan berlangsung, kesemua ini akan dapat diketahui pada hari Selasa ini 28 Julai.
Tidak dinafikan sebaik sahaja, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan ‘bersalah atau sebaliknya’ di akhir pembelaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak yang digelar ‘Bossku’ maka bermacam-macam reaksilah yang bakal dilontarkan terutamanya di sosial media.
Tentunya kita semua maklum mantan Perdana Menteri telah dituduh atas tujuh dakwaan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana berjumlah RM47 juta milik syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Bukan pelik jika setiap keputusan tidak akan memuaskan semua pihak.
Kalau keputusan memihak kepada yang tertuduh, maka “Mahkamah/Hakim itu dikatakan adil.”
Begitu juga sebaliknya, jika tidak memihak kepada tertuduh keputusan akan dikatakan dibuat atas desakan tangan-tangan ghaib.
Maka terdengarlah jeritan, kecaman, herdikan menuduh “Mahkamah atau Hakim tidak adil. Keputusan dibuat atas desakan politik” dan sebagainya.
Janganlah kita berprasangka demikian. Setiap keputusan, ada alasannya. Setiap alasan, ada kewajarannya.
Bukan sewenang-wenangnya pendakwa membina kesnya.
Bukan mudah untuk peguam bela membantu anak guamnya.
Penatnya bukan main bagi Yang Arif Tuan Hakim meneliti segala keterangan, fakta dan bukti sehingga bengkak matanya.
Keputusan mahkamah dibuat berdasarkan fakta, bukti dan keterangan saksi-saksi. Faktanya bukan sedikit, saksinya juga bukan seorang.
Dalam kes SRC melibatkan bekas pemimpin UMNO itu, hampir 800 barang kes dikemukakan sebagai bukti dan seramai 57 orang saksi hadir beri keterangan.
Yang beri keterangan juga bukan calang-calang orangnya.
Ini termasuk bekas anggota lembaga pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail; bekas pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mereka adalah antara yang datang memberi keterangan secara bersumpah.
Bagaimana mungkin tohmahan seperti penganiayaan boleh dijadikan ‘modal’ untuk menolak keputusan sekiranya kedua-dua pihak telah diberi peluang dan ruang untuk membentangkan kes masing-masing.
Bahkan, selepas keputusan dibuat, tertuduh yang mungkin merasakan dianiaya masih boleh merayu untuk mendapatkan keadilan.
Dari Mahkamah Tinggi boleh merayu ke Mahkamah Rayuan. Tidak puas hati lagi, boleh merayu pula ke Mahkamah Persekutuan.
Andai semua ini masih tidak memihak, maka jalan terakhir adalah Pengampunan Diraja.
Biarlah mahkamah membuat keputusannya berdasarkan bukti, fakta dan keterangan. Jangan dihakimi mahkamah kerana mereka lebih arif.
Jangan dicari kebenaran di mahkamah kerana bak kata novelis, Willian Gaddis dalam buku A Frolic of His Own – “Justice? You get justice in the next world. In this one you have the law” (Keadilan? Awak akan dapat keadilan di dunia yang berikutnya. Di dunia ini, awak hanya akan dapat undang-undang.)