Benjamin Mora akui Negeri Sembilan beri tentangan sukar
Walaupun berjaya membawa pulang tiga mata dari Paroi, malam tadi, pengendali Johor Darul Ta’azim (JDT) Benjamin Mora menyifatkan lawan mereka, Negeri Sembilan FC telah memberikan tentangan yang cukup sengit.
Beliau malahan mengakui pasukan tuan rumah mempunyai semangat melawan dan mentaliti yang tinggi sehingga menyukarkan anak buahnya dalam memburu jaringan.
“Perlawanan ini sangat sukar, Negeri Sembilan merupakan pasukan yang hebat, memberi saingan, sentiasa mencari peluang, baik dalam semangat melawan dan mentaliti, mereka juga sangat baik dalam mempertahankan ‘rumah’ mereka ini.
“Ya Negeri Sembilan membrikan kami banyak masalah terutama pada separuh masa pertama, perlawanan pada masa itu seimbang dan separuh masa kedua, kami mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan mula dapat memasuki zon mereka.
“Kami mula mendapat peluang namun gagal menjaringkan gol kerana lawan bertahan dengan baik namun kami tidak berhenti untuk memberikan saingan dan akhirnya ia berhasil, tahniah kepada pemain juga atas kemenangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.
Mengulas mengenai tambahan 10 minit masa kecederaan yang diberikan oleh pengadil semalam, Mora menyifatkan ia sesuatu yang adil jika dilihat daripada masa-masa yang terbuang dalam perlawanan yang sebenar.
“Bagaimanapun ia terpulang kepada pengadil, kita hormati keputusannya.” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan berkata, walaupun ada yang mengatakan beliau akan melakukan taktik bertahan dalam perlawanan semalam termasuk ‘parking bus’, namun ia tidak berlaku.
“Kami bermain seperti biasa, kami mesti proaktif dengan taktikal supaya kita boleh beri saingan kepada mereka, saya rasa kami bermain secara proaktif, kami lakukan serangan balas dan tidak hanya bertahan sepanjang masa.
“Kami mencipta peluang jaringan namun hari ini ia gagal diterjemahkan,” katanya.
Perlawanan kedua-dua pasukan semalam menyaksikan JDT memadamkan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super 2022 sekali gus merampas tangga teratas liga.
JDT menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dan kini Harimau Selatan mengutip 15 mata maksimum selepas mengharungi lima perlawanan.