Analisis & Pendapat

Belia diharap manfaatkan PENJANA

Pandemik COVID-19 memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan awam negara malah kepada aktiviti ekonomi dan pekerjaan.

Setiap kategori rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tiga bulan lalu termasuklah golongan belia yang merangkumi sebahagian besar tenaga buruh di sektor pekerjaan.

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan tiga teras utama memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat.

PENJANA membuka peluang baharu lebih luas kepada golongan belia untuk mencipta pekerjaan dalam menghadapi cabaran pasca pandemik.

Langkah yang diambil pihak kerajaan itu dilihat tepat bagi merangsang ekonomi rakyat serta menangani kebimbangan berhubung kadar pengangguran.

Justeru, rakyat negara ini khususnya graduan baharu serta usahawan muda harus memanfaatkan 40 inisiatif membabitkan suntikan dana bernilai RM35 bilion dalam menghadapi norma baharu kehidupan ketika ini.

Mohd. Syahbuddin Hashim

Antaranya ialah perluasan program subsidi upah bernilai RM5 bilion, pengambilan pekerja berjumlah RM1.5 bilion dan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk program peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran penganggur.

Kerajaan juga dilihat menumpukan inisiatif dikehendaki belia masa kini seperti perluasan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskiling) dan silang kemahiran (cross skilling).

Program kebolehpasaran belia sedia ada juga diberi penambahbaikan dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha mencipta pengalaman kerja kepada belia dan graduan baharu.

Dalam situasi para belia perlu membiasakan diri mempraktikkan norma baharu itu, pihak kerajaan diharap terus menangani jurang digital dalam jangka masa panjang dengan meningkatkan kemudahan prasarana jalur lebar di kawasan luar bandar.

Saya yakin peruntukan khas yang diberikan menerusi PENJANA akan memberi nafas baharu kepada lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro tempatan untuk berkembang dalam persekitaran ekonomi serta teknologi digital menerusi latihan yang bakal disediakan.

Saya menyeru golongan belia yang terjejas ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat memanfaatkan segala inisiatif yang diumumkan.

Mereka harus mengambil segala peluang terhidang kerana inilah sinar baharu buat mereka yang sudah tiga bulan terkesan teruk akibat ketidakstabilan ekonomi ketika ini.

Sekali lagi, ucapan tahniah daripada kami buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan seluruh Kabinet Menteri Malaysia yang berjaya memahami kehendak dan keperluan rakyat hari ini.

Mohd. Syahbuddin Hashim merupakan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: