Bekas wartawan kini pengusaha popcorn

Ramai menganggap popcorn mudah untuk dihasilkan sekiranya menggunakan mesin berbanding memasaknya secara manual.

Popcorn berjenama ‘Popqon’ yang dijual di kedai-kedai makan di sekitar Permatang Pauh dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Sebenarnya, popcorn boleh dimasak dengan menggunakan kedua-dua kaedah, namun, ‘disiplin’ dan penjagaan masa yang betul akan memastikan popcorn yang dimasak terutamanya untuk tujuan komersial itu berada dalam keadaan terbaik.

Ini diakui oleh seorang pengusaha popcorn kecil-kecilan, Mohd Iswan Shafiq Mat Isa, 35, atau Iswan yang terlibat dengan perniagaan itu secara sambilan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Iswan yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia selama sembilan tahun sebelum ini, kegagalan mengawal masa mungkin menyebabkan popcorn yang dimasak itu sedikit hangit sekaligus menjejaskan kualiti makanan tersebut.

Syahida sedang menyiapkan tempahan popcorn untuk majlis keraian atau untuk dijadikan ‘doorgift’ oleh pelanggan

“Saya pun hanya berpuas hati dengan kualiti popcorn yang dihasilkan itu selepas tiga kali membuatnya,” katanya yang mengusahakan perniagaan yang dinamakan ‘Popqon’ itu bersama isterinya, Syahida Abdull Aziz, 34, dengan mesin yang dibeli daripada portal usahawan.com di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Antara popcorn yang dihasilkan oleh Iswan dan isterinya

Selain popcorn karamel dan popcorn berwarna yang dijual pada harga serendah RM1 sebungkus atau sepeket, pasangan itu turut menghasilkan popcorn dalam kuantiti yang lebih besar bergantung kepada permintaan pelanggan.

Buat masa ini, popcorn tersebut dijual di kedai-kedai makan berhampiran rumahnya selain dibuat berdasarkan tempahan online untuk dijadikan cenderamata, kudapan semasa jamuan atau keraian.

Menurut Iswan, dia dan isterinya bercadang untuk menghasilkan popcorn yang lebih menarik pada masa depan termasuk popcorn yang disaluti coklat, keju dan sebagainya.

“Kebiasaannya, kami banyak menggunakan bertih jagung jenis ‘mushroom’ yang lebih bulat bentuknya untuk membuat popcorn.

“Bagaimanapun, ada kalanya kami juga menggunakan bertih jagung biasa sahaja (jenis ‘butterfly’) kerana sukar untuk mendapatkan bekalan bertih jagung ‘mushroom’ daripada pembekal,” katanya yang juga berhasrat untuk mendapatkan mesin popcorn lebih besar bagi menghasilkan lebih banyak popcorn pada masa depan.

Sesiapa yang berminat untuk menempah atau mengetahui lebih lanjut mengenai popcorn tersebut boleh menghubungi Iswan atau isterinya di talian 0125846634/0125445141.

kliqmedia

Related Posts

Sejarah t-shirt polo

Sebagai seorang lelaki anda

Read more

Thailand lebur impian Malaysia ke final Piala AFF

Skuad bola sepak kebangsaan,

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: