Berita Am

Bawa kereta ke Langkawi, mudah sahaja

Selepas sibuk dengan kerja yang tidak pernah habis, baru-baru ini dapat juga luangkan masa serta membawa keluarga bercuti dan Pulau Langkawi menjadi destinasi pilihan.

Jika diikutkan memang mahu naik flight sahaja sebab tak sanggup nak drive dari Lembah Klang ke Kuala Perlis, tapi bila kira-kira kos selain mahu mencuba pengalaman baharu membawa masuk kereta ke Langkawi jadi saya pilih menaik feri.

Feri yang dinaiki saya bersama keluarga ke Pulau Langkawi.

Saya buat tempahan sebulan awal dan membuat pembayaran untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan Langkawi Auto Express Sdn. Bhd. Tarikh yang menjadi pilihan ialah 6 Januari 2022 dan tarikh pulang pula pada 9 Januari 2022.

Berkereta Perodua Alza dengan penumpang seramai 6 orang termasuk pemandu dan dua orang kanak-kanak, caj yang dikenakan ialah sebanyak RM855 pergi dan balik. Ia meliputi tiket, port tax untuk penumpang dan kenderaan serta insurans kenderaan.

Kemudian, saya emelkan semua dokumen yang diperlukan termasuk salinan geran kereta dan salinan MyKad, seterusnya saya follow up menerusi WhatsApp memaklumkan kepada pihak Langkawi Auto Express berhubung tempahan tersebut.

Tiba hari yang dinantikan, saya dan keluarga bergerak dari rumah pada tengah malam dan selepas banyak berhenti rehat di R&R sepanjang perjalanan, saya tiba di Jeti Kuala Perlis sekitar pukul 8 pagi.

Kemudian terus check in awal di kaunter Langkawi Auto Express yang terletak berhampiran dengan Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. Saya cuma perlu bawa e-ticket yang telah dicetak serta kad pengenalan.

Banyak juga kenderaan semasa perjalanan ke Langkawi lagipun difahamkan hanya ada satu jadual perjalanan sahaja pada hari itu.

Waktu check in sepatutnya adalah pada pukul 11.30 pagi dan waktu feri berlepas pukul 1 petang. Memang banyak masa terluang sebelum berlepas dan kami mencari kedai berhampiran untuk bersarapan terlebih dahulu.

Tidak tahu mana mahu dituju kemudiannya, kami masuk dan meletakkan kenderaan buat sementara di dalam masjid . Di situ, dapatlah saya melelapkan mata sekejap selepas berjaga untuk memandu kereta sepanjang malam.

Dalam pukul 12.30 tengah hari, banyak kenderaan termasuk penumpang sudah mula beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam feri.

Penumpang yang tidak berkenderaan akan masuk terlebih dahulu diikuti penumpang yang bersama kenderaan masing-masing.

Kemudian, bawa masuk kereta, letakkan di tempat yang diminta oleh petugas feri. Perjalanan feri ke Pelabuhan Tanjung Lembong, Langkawi mengambil masa selama dua jam.

Tempat duduk penumpang bersama meja di ruang atas feri, bagaimanapun ia agak terhad.

Seterusnya, bolehlah ke ruangan tempat penduduk penumpang yang terletak di bahagian atas feri, ada tempat duduk yang bersekali dengan meja namun ia agak terhad, di situ boleh la menjamu selera bekal makanan yang dibawa.

Ada juga kaunter jualan makanan dan minuman yang dibuka, cuma yang dijual ringkas sahaja seperti mi segera dan roti bakar serta minuman ringan.

Kaunter jualan makanan dan minuman juga disediakan di atas feri.

Sepanjang pelayaran itu, saya sendiri, keluar masuk untuk menikmati pemandangan yang memukau dengan deruan angin laut yang mendamaikan, memang seronok, anak-anak pun suka apatah lagi ia pengalaman pertama mereka menaiki feri.

Ramai yang ambil angin di luar sambil menikmati pemandangan dan berbual-bual bersama keluarga dan rakan malah ramai juga yang saya lihat hanya menunggu di dalam kereta sahaja.

Ambil angin laut dari atas feri yang mendamaikan.

Tiba di Langkawi, sekitar pukul 3 petang dan sebelum keluar dari pelabuhan, saya diberikan barcode oleh pihak Angkatan Pertahahanan Awam Malaysia (APM) untuk diisi maklumat peribadi selain diberikan borang Kastam. Kemudian bolehlah menjelajah seluruh Pulau Langkawi. Hehe.

Pelayaran pulang

Selepas tiga malam di Pulau Langkawi, hari untuk pulang tiba, sedih juga sebab banyak tempat yang tidak sempat dikunjungi kerana waktu yang terhad dan badan yang penat. Haha.

Bawa kereta kembali ke Pelabuhan Tanjung Lembong. Waktu perlepasan juga dalam pukul 1 petang namun perlu check in di pejabat Langkawi Auto Express dalam pukul 11.30 pagi.

Pemandangan dari ruang belakang feri.

Seterusnya saya diberikan borang Kastam dan beratur untuk menunggu giliran masuk ke dalam feri di laluan yang disediakan. Sebelum masuk, pihak Kastam akan mengambil borang dan memeriksa muatan kenderaan. Selepas itu prosedurnya tetap sama. Menunggu tempoh pelayaran selama dua jam sebelum tiba di jeti Kuala Perlis.

Ruangan tempat duduk penumpang.

Secara peribadi bagi saya, kemudahan yang disediakan memadai dan mencukupi. Agak selesa untuk menempuh pelayaran selama dua jam tersebut, cuma kemudahan tandas bagi saya perlu ditambah baik.

Urusan untuk masuk ke dalam feri pula saya perhatikan ia lebih sistematik di Pelabuhan Tanjung Lembong ke Kuala Perlis. Mungkin ruang di kawasan itu lebih luas berbanding Jeti Kuala Perlis.

Bagi saya juga, apa yang memudahkan membawa kereta sendiri ke pulau legenda ini ialah, kita tidak perlu membawa keluar masuk bagasi sebelum menaiki feri, semuanya simpan sahaja di dalam kereta sehinggalah tiba di hotel penginapan.

Feri yang dinaiki ketika pulang ke Jeti Kuala Perlis.

Begitu juga, semasa pulang, semua barangan shopping sumbatlah sahaja di dalam kereta, sudah sampai di rumah barulah dibawa turun.

Apa-apapun, kalau pergi lagi ke Pulau Langkawi, saya rasa saya pilih naik flight je lah, haha penat drive tempoh yang lama dan penat menunggu dalam feri.

Tapi bagi mereka yang berada berdekatan dan mahu bercuti bagi tempoh yang lama, saya rasa berbaloi untuk bawa kenderaan masing-masing ke Langkawi.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: