Bapa kepada The Rock, Rocky ‘Soul Man’ Johnson meninggal dunia hari ini pada umur 75 tahun.
Dilahirkan di Nova Scotia, Kanada pada 1944, Rocky memulakan kerjaya gustinya pada umur 16 tahun dan menjadi salah seorang bintang utama di National Wrestling Alliance (NWA) pada tahun 70-an.
Dia telah memenangi pelbagai gelaran rantau NWA, menjelajah merentasi wilayah-wilayah dan berentap dengan lagenda-lagenda seperti Harley Race, Terry Funk dan Jerry Lawler.
Kejayaan terbesar Rocky adalah ketika dia terlibat dalam kategori tag team, iaitu sesuatu yang memberi kesan yang besar pada kehidupannya iaitu sebagai seorang rakan tag team kepada ahli gusti popular Samoa, ‘High Chief’ Peter Maivia.
Dengan hubungan inilah, Rocky bertemu dengan isterinya, Ava iaitu anak kepada Peter, yang mana mereka mempunyai anak bernama Dwayne Johnson atau The Rock pada tahun 1972.
Kemahiran tag team Rocky juga digunakannya ketika menyertai World Wrestling Federation milik Vince McMahon pada 1982. Rocky memulakan dengan perlawanan-perlawanan single seperti dengan Greg Valentine, dan imejnya melonjak selepas dia bergabung dengan Tony Atlas untuk membentuk pasukan tag team ‘The Soul Patrol’.
Bersama, mereka mengalahkan the Wild Samoan pada November 1983 untuk menjadi pasukan kulit hitam pertama memenangi WWF Tag Team Championship.
Rocky bersara dari arena gusti pada 1991 dan melatih anaknya, The Rock.
Ketika memulakan kariernya pada 1996, The Rock menggunakan nama Rock Maivia sebagai menghormati asal usul gustinya sebelum menjadi ‘The Rock’.
Pada 2008, Rocky telah diangkat ke WWE Hall of Fame bersama Peter Maivia oleh anak lelakinya itu.
Rocky meninggalkan anak lelaki, Dwayne dan Curtis serta anak perempuan, Wanda.
Punca kematian Rocky masih belum diketahui.
Sumber: The Wrap