Analisis & Pendapat

Balik rayakah kita tahun ni?

Bagi kebanyakan perantau khususnya yang berada di kota, pulang ke kampung halaman setiap kali Aidilfitri umpama satu kemestian.

Namun, dengan situasi semasa iaitu penularan pandemik coronavirus atau COVID-19 ketika ini, adalah terlalu sukar untuk kemestian itu dipenuhi.

Gambar hiasan Telefilem Balik Raya Ke Kita? lakonan Azad Jasmin, Shery Al-Hadad dan Rosnah Mat Aris yang pernah ditayangkan di kaca televisyen beberapa tahun lepas.

Ditambah pula dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu rakyat Malaysia melupakan hasrat untuk pulang ke kampung bagi menyambut lebaran.

Menurut beliau, walaupun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) telah dilonggarkan menjadi PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), namun, pulang berhari raya di kampung halaman adalah sangat tidak digalakkan sama sekali.

Situasi yang sama juga dilaporkan berlaku di negara jiran, Indonesia apabila Presiden mereka, Joko Widodo atau Jokowi mengenakan larangan mudik lebaran (pulang beraya) pada tahun ini gara-gara pandemik yang sama.

Berbeza dengan Malaysia, rakyat Indonesia bagaimanapun dilihat lebih ‘kreatif’ dalam usaha mereka untuk mengekalkan budaya tersebut walaupun terpaksa berdepan pelbagai rintangan dan risiko yang besar.

Memetik laporan merdeka.com, pelbagai cara telah dilakukan oleh mereka untuk ‘bermudik’ sehingga memeningkan kepala pihak penguatkuasa di sana.

Antara taktik popular yang dikenal pasti termasuk menggunakan trak penunda untuk menunda kenderaan pemiliknya ‘balik kampung’ seperti dikesan berlaku di Kota Semarang, Jawa Tengah dan menumpang lori pengangkut barang.

Seorang penduduk tempatan dikesan menggunakan trak penunda untuk menunda van miliknya hingga sampai
ke kampung halaman di Indonesia. Sumber: Instagram/@camera_penjurunews ©2020 Merdeka.com

Taktik lain yang dikesan termasuk bersembunyi di dalam trak pengangkut barang seperti yang berlaku kepada Suryono yang nekad menyeberang ke Pulau Sumatera dengan menaiki kenderaan tersebut selain menumpang lori kotak atau mobil box.

Turut dikesan ialah kaedah berkelana dengan hanya menunggang motosikal di jalan-jalan utama bagi mengelak kesesakan dan kawalan keselamatan serta sanggup membayar antara 300 hingga 500 ribu rupiah (RM87 hingga RM145) seorang kepada agen ‘travel gelap’ semata-mata mahu pulang ke kampung halaman.

Mengupah agen ‘travel gelap’ untuk balik kampung juga popular dalam kalangan mereka yang berkemampuan. Sumber:Liputan6.com ©2020 Merdeka.com

Ya, tidak dinafikan bahawa pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan itu dapat membantu memupuk dan mengekalkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat termasuk mengeratkan hubungan sesama saudara dan sebagainya.

Namun, jika ‘kepulangan yang dinanti’ itu boleh mendatangkan mudarat kepada ahli keluarga dan masyarakat, maka hukumnya akan jatuh haram.

Itu yang pernah ditegaskan oleh Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya apa yang dilakukan orang awam seperti pulang ke kampung itu boleh memudaratkan orang lain, maka, ia boleh menjadi haram jika mereka sendiri tidak tahu bahawa mereka mungkin telah dijangkiti dan menyebarkan virus itu kepada orang lain pula.

Justeru, pendekatan terbaik ialah, usah terlalu mengikut ‘kata hati’ semata-mata kerana ingin pulang ke kampung halaman melainkan ada sebab-musabab yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Seperti kata Perdana Menteri, biasakanlah diri dengan norma baharu dalam kehidupan seharian ketika ini.Hal ini demikian kerana, berdasarkan kajian semasa, virus COVID-19 ini pastinya tidak akan terhapus dalam jangka masa yang singkat.

Apapun, hasil pemerhatian oleh para netizen setakat ini, satu-satunya kaedah paling selamat untuk pulang beraya tanpa ditahan dan disoal siasat penguatkuasa adalah dengan cara berjoging sahaja.

Sarkastik?Terpulang kepada penerimaan masing-masing. Ingat, mencegah itu lebih baik daripada mengubati dan hanya kita sahaja yang boleh memecahkan rantaian COVID-19 ini daripada terus membelenggu kehidupan kita.-KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: