Atlet Malaysia segak berarak masuk
Sukan SEA ke-30 di Filipina secara rasminya bermula dengan berlangsungnya acara perasmian secara gilang gemilang di Philippine Arena di Bulacan, malam tadi.
Seperti kelaziman, perarakan kontinjen negara-negara yang bertanding menjadi acara yang ditunggu-tunggu.
Kontinjen negara menjadi kontinjen kelima yang berarak masuk ke dalam stadium berkenaan yang didahului oleh pembawa bendera iaitu jaguh tenpin boling, Muhammad Rafiq Ismail.
Dia disertai kira-kira 91 atlet dan pegawai, segak dan anggun mengenakan pakaian kebangsaan Malaysia.
Atlet lelaki berbaju Melayu putih, bersamping songket merah dan bertanjak corak Jalur Gemilang manakala atlet wanita mengenakan baju kurung putih dengan sebahagiannya bertudung merah dan berselendang corak jalur.
Sukan Sea di Filipina tahun ini, Malaysia diwakili 773 atlet merangkumi 326 wanita dan 447 lelaki.
Mereka memburu sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa yang jika dicapai, akan menjadi pencapaian terbaik Malaysia di Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.