Berita Am

Anak rusa diberi nama Covinaliner sempena COVID-19

Seekor anak rusa sambar yang dilahirkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PLHL) Gua Musang, Kelantan pada 11 April lalu telah diberi nama Covinaliner.

Ia bersempena memperingati kelahiran anak rusa betina itu pada penularan pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menerusi akaun-akaun media sosial jabatan itu, semalam.

“Baru-baru ini, pada 11 April 2020, PKHL Gua Musang menerima kehadiran warga baru dengan kelahiran seekor anak rusa betina. Ianya diberi nama Covinaliner sempena memperingati kelahirannya di musim Covid-19.

“Covinaliner telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan baik dan aktif,” kata jabatan tersebut.

PKHL Gua Musang, Kelantan merupakan salah satu lagi pusat konservasi hidupan liar yang diuruskan oleh Jabatan Perhilitan.

Ia terletak kira-kira 13 kilomter dari pekan Gua Musang. Pusat ini memberi fokus kepada konservasi spesies rusa sambar.

Rusa sambar telah diisytiharkan sebagai spesies terlindung atau menghadapi risiko kepupusan di Semenanjung Malaysia.

Spesies rusa sambar menghadapi risiko kepupusan di Semenanjung Malaysia kerana aktiviti memburu untuk mendapatkan dagingnya dan sudah lenyap dari beberapa hutan terlindung di negara ini.

Rusa Sambar menghadapi risiko kepupusan di negara ini.

Sementara itu, terdapat satu laporan hasil kajian saintifik yang menemukan wujud hubungan langsung di antara rusa sambar dan populasi harimau.

Kawasan di mana terdapat lebih banyak rusa sambar maka terdapat lebih banyak harimau di situ.

Ini kerana, rusa sambar adalah haiwan pemangsa pilihan terbesar bagi harimau.

Sebelum ini, Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) memberi amaran bahawa kewujudan rusa sambar amat penting untuk merealisasikan matlamat menyelamatkan harimau.

Sementara itu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran COVID-19 ketika ini, pihak Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) telah menerima kehadiran tiga ekor anak Harimau Malaya.

Ketiga-tiga ekor anak Harimau Malaya itu dilahirkan pada 12 April lalu. – Gambar Facebook ZTNS

Pihak ZTNS menerusi akaun Facebook, memaklumkan, ketiga-tiga ekor anak harimau itu telah dilahirkan pada 12 April lalu sekali gus menjadikan Zoo tersebut mempunyai lapan ekor Harimau Malaya secara keseluruhan.

“Ibu dan anak Harimau Malaya tersebut adalah dalam keadaan baik dan stabil.

Kesemua harimau ini masih dibiarkan di tempat kurungan dan dipantau dengan kerap bagi menjamin keselamatan haiwan tersebut. – Gambar Facebook ZTNS

“Berat anak Harimau Malaya tersebut dianggarkan seberat 700 gram hingga 900 gram, dilahirkan oleh ibunya seekor Harimau Malaya dewasa berusia 11 tahun yang turut dilahirkan di Zoo Taiping & Night Safari pada tahun 2009,” katanya.

Dalam pada itu, ZTNS memaklumkan akan sentiasa berusaha dalam membantu negara dalam memainkan peranan dalam usaha pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai hidupan liar di negara ini.

“Semoga sasaran penambahan populasi Harimau Malaya meningkat menjadi 500 ekor dalam tempoh lima tahun akan datang dapat menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: