Kesihatan

COVID-19: Gesa gantung pembayaran balik pinjaman perumahan

Kerajaan digesa untuk mengikut langkah kerajaan Itali yang menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan bagi membantu rakyat yang kini terkesan ekoran penularan COVID-19.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad menjelaskan, penggantungan tersebut bukan kali pertama di Itali tetapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

Ketua Penyelaras REACH, Datuk Iskandar Abdul Samad

Sehubungan itu katanya, REACH menggesa Malaysia mengambil langkah serupa kerana kesan kesihatan COVID-19 melibatkan ribuan rakyat dan kesan kewangan juga akan melibatkan lebih ramai rakyat negara ini.

“Ramai yang kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

“Mereka yang terlibat di dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan melihat pendapatan mereka terjejas akibat dari pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan.

“Paling terkesan adalah mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau membuka warung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peniaga kecil-kecilan merupakan golongan paling terkesan dalam aspek kewangan dalam situasi terkini penularan COVID-19 di negara ini. – Gambar Hiasan

Menurut Iskandar lagi, terdapat cadangan agar mereka yang terkesan berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka.

Namun menurutnya, diyakini bukan semua daripada mereka berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank.

“Inisiatif ini perlu datang dari kerajaan. Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi-institusi kewangan.

“Tanpa inisiatif dari kerajaan, tidak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka dilelong oleh pihak bank,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: