Seorang pengguna Twitter @airore0 baru-baru ini berkongsikan kesedihannya apabila tujuh ekor kucing yang dibela oleh keluarganya mati akibat virus parvo.
Menerusi perkongsiannya itu, dia memberitahu, kesemua kucingnya itu mati seekor demi seekor dan menunjukkan beberapa tanda dan simptom.
Antara tanda kucing-kucingnya itu dijangkiti ialah tidak mahu makan dan minum serta mulut berbuih.
Simpan sini buat kenangan. Jaga lah kucing korang elok elok. Sekarang musim virus parvo.
Kena tengok selalu, jangan lepas keluar sangat. Sekali kena virus ni, susah nak ada harapan.
Tuhan je tahu perasaan aku sekarang
Kini menurut @airore0, kucing di rumahnya tinggal lapan ekor termasuk dua ekor yang pernah dijangkiti virus sama, dua tahun lalu, namun berjaya pulih.
Oleh itu dia berharap kesemua baki kucingnya itu tidak turut dijangkiti.
Jadi, apakah sebenar virus parvo atau Feline Parvovirus (FPV) ini? Dalam kalangan orang Melayu ia disebut juga sebagai penyakit hawar kucing.
Ia cepat dan mudah menular pada kucing-kucing lain sekiranya seekor kucing telah dijangkiti.
Menurut laman web https://themamamiaow.com/ , virus parvo adalah virus yang menyebabkan penyakit yang teruk pada kucing, terutamanya anak kucing dan tentunya boleh membawa kepada kematian kucing yang terlibat.
Virus ini mempunyai daya tahan yang kuat dan boleh hidup di persekitaran luar pada tempoh masa yang lama.
Ia boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi dengan wabak ini masih boleh dilihat pada sekumpulan kucing yang tinggal bersama-sama dengan kucing yang tidak divaksin.
Virus ini tidak boleh dijangkiti oleh manusia dan juga anjing. Namun virus Canine Parvovirus (parvo anjing) boleh dijangkiti oleh kucing.
Kebanyakan kucing dijangkiti virus parvo ini dari kawasan yang tercemar (terkena najis yang ada virus parvo) berbanding dari jangkitan secara terus oleh kucing yang dijangkiti virus parvo.
Virus ini juga tersebar dengan pantas melalui kucing dan kebanyakan kucing mengeluarkan virus parvo melalui najis hanya untuk beberapa hari sahaja.
Virus ini juga boleh tersebar melalui pergaulan terus dengan kucing yang dijangkiti, terutamanya di persekitaran yang mempunyai kucing yang banyak.
Kucing anda mungkin dijangkiti virus Parvo jika menunjukkan tanda-tanda seperti muntah, mengeluarkan buih atau basah pada keliling mulut, ketidakupayaan untuk makan dan minum serta cirit birit yang kadang kala mempunyai darah.
Buat masa ini tiada penawar untuk virus Parvo, namun jika virus ini dikesan pada kucing, ia boleh merawat simptom simptomnya dengan rawatan rapi termasuk cara jagaan yang baik, terapi menambah cecair dalam badan dan menggalakkan kucing makan.
Rawatan ini hanya untuk mengawal simptom yang ada sementara sistem imunisasi kucing melawan virus ini.
Antibiotik tidak memberi kesan namun Veterinar mungkin berikan antibiotik hanya untuk menggelak jangkitan lain menyerang kucing.
Vaksin kucing anda
Vaksinasi merupakan jawapan kepada virus ini, ia selalunya bermula semasa kucing berumur 8 atau 9 minggu dengan vaksinasi kedua pada tiga atau empat minggu seterusnya.
Vaksin parvo selalunya bergabung dengan penyakit yang lain seperti virus selesema kucing..
Kebersihan yang bagus, prosedur pengasingan terhadap kucing yang dijangkiti juga sangat efektif dalam menggelakkan penyebaran jangkitan ini.
Anda sayang kucing anda? jika ya, anda dinasihat untuk ambil tanggungjawab menvaksin kucing peliharaan anda itu. Jagalah baik-baik, semoga ia mendoakan kesejahteraan kehidupan kita pula, siapa yang tahu kan? KLIQ NEWS