Pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan telah menemukan sebanyak 118 biji telur penyu, pagi semalam.
Ia ditemukan di dua buah lokasi pantai Port Dickson, menurut jabatan tersebut menerusi akaun Facebook, semalam.
Susulan penemuan tersebut, kesemua telur itu akan dieramkan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson. Ia demi pemuliharaan populasi penyu di perairan Negeri Sembilan.
Sementara itu, menurut laporan Harian Metro sebelum ini, sebanyak 10 ekor penyu telah ditemukan mati di perairan pantai Port Dickson dalam tempoh lapan tahun sejak 2012.
Kes terbaharu yang dilaporkan adalah pada Mac lalu, membabitkan seekor penyu agar seberat 100 kilogram yang ditemukan mati di persisiran pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, walaupun bilangan yang mati itu dilihat sedikit, tetapi sebenarnya ia menunjukkan statistik yang tinggi jika mengambil kira kedudukan pantai Port Dickson
Jelasnya lagi, penyu di perairan Negeri Sembilan hanya membabitkan jenis agar atau nama saintifiknya green turtle dan penyu karah (Eretmochelys imbricata).
“Hanya penyu jenis agar dan karah yang terdapat di perairan di negeri ini dan bilangan penyu itu tidak banyak seperti di kawasan Pantai Timur kerana habitatnya amat terhad disebabkan pembangunan, katanya.